Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang dilaporkan terjatuh dari apartment rumah sewanya di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, 17 April lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, jawatankuasa bebas itu juga akan meneliti berhubung budaya buli yang berlaku terhadap doktor-doktor pelatih. 

Menurut beliau, pihak polis juga sedang melengkapkan siasatan mengenai kejadian tersebut. 

Khairy turut memberitahu telah menerima laporan awal kejadian kematian berkenaan daripada ketua jabatan doktor pelatih itu. 

“Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari ketua jabatan mendiang di Pulau Pinang. 

“Pihak polis juga sedang melengkapkan siasatan. 

“KKM akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya buli yang didakwa berlaku,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Kematian doktor pelatih: Polis akan rakam keterangan keluarga

Pada 17 April lepas, doktor pelatih itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Pada Selasa lepas, sebuah portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan seorang doktor pelatih HPP ditemukan meninggal dunia setelah dipercayai terjatuh dari bangunan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, beliau berkata polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes itu sekiranya menemukan bukti baharu.

Buat masa ini, polis telah merakam keterangan doktor dan rakan serumah doktor pelatih berusia 25 tahun itu serta akan merakam keterangan ahli keluarga bagi membantu siasatan. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram