hukum berbuka puasa ganti

Semasa waktu rehat di pejabat, tiba-tiba seorang kawan datang mengutarakan persoalannya tentang puasa ganti. Jelas rakan sepejabat itu, dia ingin mengetahui bagaimana hukumnya jika dia yang sedang menggantikan puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lalu dengan sengaja berbuka tanpa ada sebab yang memudaratkan dirinya.

Mungkin ada yang sudah jelas tentang hukumnya namun tanpa disedari masih ada juga segelintir yang masih kabur tentang perkara ini. Bagi mereka yang masih tidak jelas dengan perkara ini, diri mereka berterusan melakukannya kerana menyangka ia tidak mengapa.

Hakikatnya ada hukum dan hujah yang pasti di sebaliknya. Justeru itu, Al Islam telah berjumpa dengan Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani untuk membantu menjelaskan perkara tersebut.

Terang Nik Abdul Rahim, membatalkan puasa qada’ atau puasa ganti tanpa uzur syarie adalah tidak harus yakni haram. Ini kerana puasa ganti merupakan salah satu puasa wajib dan tidak boleh berbuka tanpa sebab yang syarie.

Tambah Nik Rahim juga, ia juga sama keadaannya apabila kita melakukan puasa nazar dan puasa kafarah malah bagi puasa Ramadan sendiri yang mana berbuka tanpa uzur syarie, hukumnya adalah haram. Maka jika seseorang itu berbuka tanpa uzur, dia boleh dianggap seorang yang berdosa.

Ini dikuatkan dengan satu hadis dari Ummu Hani r.a di mana beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w.  

“Wahai Rasulullah s.a.w., aku telah berbuka dengan sengaja”. Lalu Baginda s.a.w. bertanyakan kepadanya, “Adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu?” Jawab beliau, “Tidak”. Kata Rasulullah “Maka ia tidak memudaratkan kamu jika ia adalah puasa sunat.” (HR Abu Daud)

Keseluruhannya ia menunjukkan bahawa jika seseorang berpuasa sunat, maka dia tidak berdosa untuk membatalkan puasanya tetapi ia memberi mudarat jika puasa tersebut merupakan puasa wajib, mudaratnya di sini adalah bermaksud berdosa.

Jelas sekali, ramai yang alpa tentang keadaan ini. Ada yang mudah terpengaruh dengan ajakan rakan untuk keluar makan bersama-sama biarpun pada hari itu dia sedang menunaikan puasa ganti. Bukan berada di bulan Ramadan membuatkan ramai yang mudah lupa mereka sebenarnya menunaikan ibadat wajib yang haram ditinggalkan secara sengaja.

Namun begitu, sekiranya seseorang itu tidak mengetahuinya sebelum ini, tidak mengapa kerana Allah Maha Pengampun. Seiring dengan hal ini, Nik Rahim menjelaskan bahawa selagi mana kita tidak tahu hal tersebut dan kita sudah melakukannya, Allah Taala Maha Pengampun. Kita mohon supaya diampunkan segala tindakan atau kesalahan yang telah kita lakukan dan beristighfarlah.

Mereka yang berbuka puasa dengan sengaja hukumnya berdosa dan wajib bertaubat

Nik Rahim juga menjelaskan ada hadis yang mengatakan mereka yang berbuka puasa dengan sengaja, mereka tetap berdosa dan diwajibkan bertaubat. Lakukan taubat nasuha yang mana orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tiada dosa.

Dalam melaksanakan taubat nasuha mengikut Imam Nawawi di dalam kitab Al-Adzkar, dia wajib memenuhi tiga syarat iaitu berhenti serta merta daripada melakukan dosa, mesti juga mempunyai penyesalan di dalam hati dan akhir sekali berazam tidak akan kembali lagi kepada perbuatan yang lama.

Nyata sekali apabila kita menilai kembali, bukan sahaja puasa yakni semua ibadat wajib seperti solat, hukumnya haram jika kita meninggalkan dengan sengaja tanpa ada sebab yang syarie.

Jika seseorang itu meninggalkan solat kerana sengaja contohnya malas, ada  urusan kerja, tidur yang kerap, itu adalah haram. Ibadat solat dan puasa serta perkara wajib lain tidak boleh dibatalkan dengan sengaja kecuali mereka melalui keuzuran. Wallahu a’lam

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare