WALAUPUN tidak diletakkan harapan tinggi, pasukan Malaysia berjaya menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan bola sepak lelaki Kumpulan B Sukan SEA ke-31 di Stadium Thien Truong, Hanoi malam ini.

Pasukan kebangsaan Bawah-23 (B-23) Brad Maloney itu berjaya memanfaatkan peluang kelebihan bermain dengan Thailand yang bermain 10 orang selepas salah seorang pemainnya dilayang kad merah kerana mengkasari pemain Malaysia.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Nur Azfar Fikri Azhar pada minit-minit terakhir masa kecederaan iaitu minit ke-94 hasil hantaran lintang pemain lincah, Shafiq Ismail.

Pasukan Thailand yang menguasai separuh masa pertama telah mendahului dengan jaringan gol pada minit ke-33 oleh penyerangnya, Patrik Gustavsson.

BERITA BERKAITAN Sukan SEA: Nur Dhabitah sandaran penyumbang pingat emas pertama negara esok

Bagaimanapun, Danial Asri berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas berjaya menjaringkan gol pada minit ke-61 dan pasukan Malaysia terus menguasai perlawanan dalam separuh masa kedua.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Maloney merasakan anak-anak buahnya berhak menang malam ini selepas mempamerkan keberanian mereka ketika berhadapan dengan salah sebuah pasukan terbaik di rantau ini.  

“Saya sudah katakan kepada anak-anak buah saya supaya tidak gentar untuk berhadapan sesiapa sahaja dan kami menghormati Thailand, gergasi Asia Tenggara tetapi kami bermain tanpa rasa takut , pemain-pemain ini tidak goyah berhadapan sesiapa sahaja di hadapan mereka dan mereka bermain sepenuh hati untuk selama 98 minit dan mencapai matlamat,” kata Maloney.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B mengumpul tiga mata sementara Laos dan Singapura yang terikat 2-2 dalam satu lagi aksi masing-masing di tempat kedua dan ketiga manakala Kemboja (keempat) dan Thailand tercorot.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober tahun lepas, yang menyaksikan pengakhiran seri tanpa jaringan.

Selepas pertembungan dengan Thailand, Malaysia akan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di venue sama. Dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir. – UTUSANTV