Bahagia itu apabila pasangan suami isteri saling menghargai dan menyayangi walau apa dugaan melanda. Hidup tidak selalunya indah, kita tidak akan tahu bila segala nikmat dan bahagia akan ditarik kembali oleh Allah SWT.

Perkongsian Sha Ramson Abdullah ini cukup menjentik rasa, bagaimana bahagia yang dikurnia hilang setelah suami tercinta kembali ke pangkuan Ilahi. Jelas Sha, mesej yang diterima daripada seorang wanita ini cukup mencengkam jiwa. Ulasnya, hargai pasangan sementara mereka masih ada.

Rakamkan kenangan dan sentiasa berbuat kebaikan kepada pasangan kerana Allah.

“Bulan lepas saya dapat mesej ini dari Messenger. Sejujurnya hati saya jadi sangat lembut bila baca nasihat macam ni😭 Ada beberapa orang kawan saya yang Allah hadirkan dalam hidup juga bercakap benda yang sama macam ni.

Antara cara saya hargai suami, buat kebaikan kepada suami bukan kerana dirinya tapi kerana Allah. Bila saya buat kebaikan kepada suami kerana Allah, saya jadi tak berkira dengan suami, saya jadi sangat berlembut dengan suami, saya jadi seorang yang sangat bersyukur, jadi seorang yang mudah ikut kata suami dan mendoakan kebaikan untuk suami tak pernah tinggal dalam setiap sujud.

Setiap kali suami saya masak, resam air tangan dia juga melembutkan hati saya. Dari awal kami sah jadi suami isteri, Allah bagi bahagia sampaikan kami tak pernah gaduh dari awal nikah, takde berkelahi, takde berselisihan pendapat. Setiap hari mengekek ketawa berlari-lari dalam rumah. Tepi singki pun kami boleh berdekah. Keras perut bergelak ketawa tang tu jugak. Bila dapat mesej macam ni, ia menambahkan kekuatan saya untuk lagi sayang suami.

Kita tak tahu bila-bila masa saja Allah boleh tarik nyawa kita. Sebab itu kita perlu sentiasa bersedia. Prep kematian kita. Tak kita mati dulu, suami kita. Hidup ini tidak selamanya indah. Jadi, cara hargai pasangan kita, anggaplah ini saja peluang yang ada untuk kita buat kebaikan kepada suami sebab kita tak tahu bila-bila masa saja Allah akan ambil kita kembali pulang ke sisiNya.

Rakamlah memori dan kenangan terindah bersama orang yang kita sayang. Sentiasa buat kebaikan kepadanya kerana Allah sayang. Ambil gambar, rekod moment yang terindah bersama pasangan. Bila kita buat kerana Allah, kita takkan berkira dalam setiap pengorbanan. Saya taip ni pun saya nangis 😭”

Sumber : Sha Ramson Abdullah