JALAN raya yang dikenali sebagai Avenida 9 De Julio ini terletak di tengah-tengah pusat bandar Buenos Aires di Argentina. Tahukah anda, jalan raya ini digelar sebagai jalan raya paling lebar di dunia.

Mereka yang mahu menyeberangi jalan ini dengan berjalan kaki diingatkan supaya berjalan dengan laju untuk sampai ke seberang sebelum lalu lintas di persimpangan berubah merah. Jika tidak, anda mungkin terlewat kira-kira dua minit daripada sepatutnya. Kebiasaannya, ia memerlukan lima hingga lapan minit untuk menyeberangi jalan ini.

Jalan raya ini dinamakan Avenida 9 De Julio sempena tanda penghormatan hari kemerdekaan Argentina pada 9 Julai 1816. Terdapat sembilan lorong di setiap arah jalan ini, bermakna jumlah keseluruhan terdapat 19 lorong di kedua-dua arah jalan ini.

Jalan ini disebut sebagai jalan raya paling lebar di dunia.

Jalan sepanjang tiga kilometer ini telah dirancang pembinaannya sejak tahun 1935. Ketika itu, ekonomi Argentina berkembang maju dengan kepadatan penduduk yang semakin tinggi. Jalan ini dirancang agar kota raya Argentina tidak mengalami kesesakan lalu lintas yang luar biasa.

Namun, idea pembangunan jalan ini pada awalnya mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya golongan yang mempertahankan monumen-monumen sejarah di bandar Bueno Aires.

Ini kerana, proses pembinaan jalan raya tersebut menyebabkan beberapa bangunan lama yang berusia ratusan tahun terpaksa dirobohkan. Dianggarkan, pembinaan jalan ini memerlukan ubai suai hampir 60 ribu meter persegi keluasan tanah di tengah-tengah bandar raya tersebut.

Jalan raya ini telah dirancang pembinaannya sejak 1935, namun mendapat banyak tentangan.

Pun begitu, setelah 50 tahun tercetusnya idea itu, projek pembangunan jalan raya ini dimulakan dan akhirnya siap sekitar tahun 1960-an. Di kedua-dua sisi jalan ini dipenuhi dengan pelbagai bangunan yang rata-ratanya adalah pusat beli-belah terkenal.

Di bawah jalan yang lebar ini, dibina pula beberapa landasan kereta api bawah tanah yang turut menjadi pengangkutan rasmi penduduk di Bueno Aires.

Namun begitu, pada hari ini walaupun jalan raya yang luas terbentang ini telah dibina di bandar Argentina, kesesakan lalu lintas masih tidak dapat dielakkan, Apatah lagi dengan pertambahan jumlah kenderaan dari masa ke semasa, jalan raya yang paling lebar ini tetap dilanda kesesakan terutama pada waktu puncak.

Perbezaan jalan ini dahulu dan sekarang.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/