Amalan membuka pintu rezeki
Sekadar gambar hiasan

Sebelum membicarakan bagaimana untuk membuka pintu rezeki atau murah rezeki perlukan beberapa perkara sebagai persediaan diri. Menurut Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Sahlawati Abu Bakar, sebelum memikirkan bagaimana untuk membuka pintu rezeki kena faham dahulu siapa yang memberi rezeki?

Katanya, setiap orang Islam kena faham siapa yang memberikan rezeki. Yang memiliki rezeki dan pemberi rezeki adalah Allah. Allah itu sifatnya adalah Al-Razzaq iaitu pemberi rezeki. Itulah sifat Allah yang spesifik untuk memberi rezeki. Apa pun amalan yang dilakukan kena faham bahawa Allah itu yang memberikan rezeki.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 212, Allah berfirman,

“ Kehidupan dunia (dan kemewahannya) dihiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.

Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

Jelasnya, Allah memberi rezeki tanpa mengira siapa walaupun kepada orang bukan Islam. Kemewahan ini sesiapa pun boleh memperolehnya sama ada orang itu patuh mengerjakan solat mahupun mereka yang tidak bersolat. Jika orang beriman dan kaya maka Allah dengan sifatnya Al-Razzaq akan menambahkan lagi dan disertai dengan keberkatan.

Dari situ Sahlawati, menghuraikan bahawa sudah jelas, Allah pemberi rezeki kepada sekalian makhluk di muka bumi ini. Kenyataan itu jelas disebut dalam surah Al-Dzariyat: 58,

“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang maha kuat kukuh kekuasaan-Nya.”

Seperkara lagi sambungnya, setelah percaya dan penuh keyakinan bahawa Allah itu yang pemberi rezeki perlu disertai dengan takwa. Di dalam ayat seribu dinar yang kebanyakan peniaga mengantungkannya dan amalkan untuk memurahkan rezeki adalah menjelaskan tentang takwa kepada Allah.

Ayat seribu dinar itu termasuk di dalam surah at-Talaaq ayat 2 dan 3,

“Kemudian apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya. Maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua saksi, dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujuk atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.

Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi pengingatan dan pengajaran kepada sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”

Ayat 3 pula, “Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Sahlawati menjelaskan, pada penghujung ayat itu disebutkan sesiapa yang bertakwa dan bertawakal akan diberikan jalan keluar dan diberikan rezeki dengan sumber yang tidak disangka. Di sini membawa maksud, syarat utama untuk diberikan rezeki adalah takwa kepada Allah. Ayat itu menceritakan tentang sesiapa yang hendak menceraikan isterinya.

Apa hubungannya dengan semua ini? Allah beri jalan mudah jika niatnya betul. Kemudian Allah beri jalan setelah bertakwa kepadanya. Allah bukan saja beri jalan keluar tetapi juga rezeki, kelapangan, ketenangan dan kesenangan hidup. Ayat itu memberi penjelasan tentang kepentingan bertakwa kepada Allah.

Syarat Takwa Dan Tawakal

Namun ada syaratnya, siapa yang bertakwa dan tawakal maka Allah akan beri jalan keluar. Tawakal itu pula adalah setelah segala usaha dilakukan. Ini menunjukkan amalan bertakwa kepada Allah adalah medium penyelamat daripada segala kesengsaraan, kemurungan dan kesempitan duniawi ukhrawi serta ketika mati. Ia juga menjadi sumber rezeki yang baik halal dan luas.

Imam Ahmad, al-Nasai dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Thauban,

“Sesungguhnya seorang hamba diharamkan dari mendapat rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Takdir tidak dapat dielakkan melainkan dengan doa. Umur tidak akan bertambah melainkan dengan amalan kebaikan.”

Asasnya sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam setiap perintahnya dan meninggalkan segala larangannya serta tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan nescaya Allah memudahkan baginya jalan penyelesaian dan penyelamat bagi segala masalah yang dihadapinya. Allah juga akan memberi rezeki kepadanya dari sumber yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare