Enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi dilanjutkan hingga 6 petang mulai Rabu ini./Gambar hiasan FB JIM

WAKTU pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM) dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi dilanjutkan hingga 6 petang mulai Rabu ini (11 Mei).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata ia merupakan antara langkah penambahbaikan Jabatan Imigresen bagi mengatasi kesulitan berhubung permohonan serta pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), selain akan menambah jumlah petugas untuk mengendalikan proses PMA.

KHAIRUL DZAIMEE DAUD./Gambar FB JIM.

Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.

Semua pejabat pengeluaran pasport di Semenanjung Malaysia juga akan beroperasi pada hari Sabtu dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari mulai 14 Mei, katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Memetik laporan Bernama, Khairul Dzaimee berkata, semua kaunter Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung akan dibuka hingga 10 malam.

Khairul Dzaimee berkata terdapat peningkatan kira-kira 40 peratus dalam pengeluaran PMA iaitu sejumlah 165,449 dalam tempoh 1 April hingga 6 Mei lepas berbanding 111,931 pada Mac lepas.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyediakan kaunter khas untuk bakal jemaah haji yang telah mendapat surat tawaran bagi memudahkan urusan permohonan PMA golongan terbabit.

Baca: Penerbangan pertama jemaah haji 31 Mei depan

Kuota haji: Malaysia diberi tempat untuk 14,306 jemaah

“Mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada TH (Tabung Haji),” katanya.

Susulan kesesakan dalam Sistem Temujanji Online (STO), Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen memutuskan untuk menyeragamkan pemansuhan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai Rabu ini.

Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Imigresen akan memansuhkan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang mulai 9 Mei, manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka pula mulai 16 Mei.