Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KERAJAAN mengambil langkah proaktif apabila memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud (MyGovCloud) yang menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud/PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MyGovCloud bertujuan untuk memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Jelas beliau, pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak.

“Hasil penilaian ini, Kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.

“Bagi memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework

 Agreement (CFA) telah dimeterai antara kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).

“Kontrak CFA bersama-sama kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

“Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Cuti Hari Pekerja dianjak ke Rabu ini – Perdana Menteri

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, penglibatan CSP dan MSP itu dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

Jelas beliau, pelaburan itu akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

“Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP. 

“Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa,” katanya.

Perdana Menteri, perjanjian CFA itu merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan.

“Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram