SUATU hari, seorang pemuda berjumpa seorang guru tua lantas memintanya nasihat dan mengajar petua bagaimana hendak mencapai kejayaan dalam kehidupan.

“Apakah petua dan rahsia untuk berjaya?” tanya si pemuda ingin tahu.

Jawab guru itu, “Cuba anakku daki gunung itu sehingga ke puncaknya. Mudah-mudahan anakku dapat mempelajari rahsia bagaimana untuk menjadi seorang yang berjaya!”

Si pemuda bersetuju menyahut cabaran tersebut. Guru tua itu membekalkan pemuda itu dengan dua biji labu, sekotak mancis dan sebilah pisau untuk dibawa bersama.

Esoknya, pergilah si pemuda itu mendaki gunung seperti diarahkan sambil membawa dua biji labu. Setelah lama mendaki, dia mula keletihan.

Dua biji labu yang dibawanya tadi, di tangan kanan dan kirinya menjadi beban. Dia tidak dapat bergerak bebas semasa mendaki. Si pemuda menyoal dirinya: “Apakah rahsia yang dapat dipelajarinya hanya dengan memanjat gunung dan membawa dua biji labu ini?”

Biarpun letih, pemuda itu tetap meneruskan pendakian sehingga sampai ke puncak gunung. Hari kian gelap. Malam pun menjelma. Dek kelaparan, pemuda itu memasak sebiji labu dan memakannya. Setelah itu, dia tertidur dalam kesejukan dan keletihan yang teramat sangat.

Keesokannya, si pemuda terjaga. Dia tergamam seketika. Gunung yang didakinya menjulang tinggi hinggakan pemandangan di bawah kelihatan terlalu kecil. Tapi, apakah iktibar yang dapat dipelajarinya semasa berada di puncak gunung? Setelah puas memikirkan, si pemuda masih belum mendapat jawapannya.

Selepas beberapa ketika berada di puncak gunung, pemuda itu turun semula. Dia meninggalkan lebihan sebiji labu yang dibawanya di puncak gunung. Perjalanan turun dirasakan semakin mudah dan pantas. Tidak ada lagi beban yang digalas dan halangan yang ditempuhi seperti mula-mula mendaki.

Sebaik tiba di bawah, dia bertemu guru tua itu semula lantas menceritakan pengalaman dan halangan yang terpaksa ditempuhinya semasa mendaki.

“Tapi, apakah maknanya semua ini, guru?” soal pemuda itu.

Lalu guru itu menerangkan bahawa untuk memulakan sesuatu pekerjaan itu amatlah sukar. Banyak halangan dan rintangan terpaksa ditempuhi. Usaha berterusan tanpa jemu amat penting untuk berjaya.

“Perumpamaannya, amat sukar untuk kita menjawat jawatan tinggi tetapi amat mudah pula untuk kita meninggalkannya!” jawab tok guru.

Guru tua itu menyoal lagi, “Di puncak gunung tadi, apa yang kamu nampak?”

“Tak ada apa-apa. Hanya nampak rumah-rumah kecil, pepohon pula nampak berbalam,” jawab si pemuda.

“Begitulah hakikat kehidupan ini wahai anakku. Apabila kamu sudah berada di puncak, kadang-kadang kita lupa orang di bawah. Kita hanya pandang sebelah mata saja. Kita tidak peduli lagi kesusahan dan kesengsaraan orang lain.

“Hanya satu nasihat hamba, apabila sudah berjawatan tinggi, keluarga dan sahabat jangan dilupa. Ingatlah jasa orang yang telah membantumu sehingga berjaya mendaki ke puncak kejayaan!” ucap tok guru lagi.

 Guru itu bertanya lagi, bagaimana keadaan semasa berada di puncak?

“Tak ada apa-apa tok guru kecuali sejuk, malam yang dingin, lapar, dahaga dan digigit nyamuk hingga susah nak tidur!” jawab si pemuda.

“Inilah perumpamaannya apa bila anakku sudah berjawatan tinggi. Kamu hanya duduk di dalam pejabat yang berhawa dingin. Kamu perlu memakai baju tebal, kot dan tali leher yang segak.

“Tapi, apabila berada di puncak kuasa bukanlah mudah anakku! Setiap masalah kena hadapi sendiri. Semakin tinggi kamu berada, semakin sukarlah situasi kamu hendak mengekalkan kedudukan dan kuasa. Jika tersilap langkah, buruklah padahnya!” nasihat tok guru.

Si pemuda mengangguk-angguk. Barulah dia faham rahsia kejayaan yang diburunya selama ini.

“Err, mana dua biji labu yang dibekalkan?” soal tok guru.

“Sebiji telah dimakan, sebiji lagi ditinggalkan di atas puncak!” jawab si pemuda. Si pemuda memberitahu dua biji labu itu menjadi beban dan sukar hendak mendaki gunung.

“Bukankah anakku boleh membawa labu dengan guni supaya mudah dibawa? Anakku juga boleh isi labu dalam bakul atau beg dan kendong di belakang. Jadi tangan boleh bergerak bebas menebas semak samun dengan pisau yang diberi,” beritahu tok guru tersenyum.

Sekarang barulah si pemuda sedar, pengalamanlah yang menjadi guru, penunjuk jalan dan penentu kejayaan atau kegagalan dalam menongkah arus kehidupan.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/