Mahu membawa pengalaman menunaikan ibadah di Tanah Suci menerusi koleksi sejadah yang dijual, bertepatan dengan misi ‘seumpama di Haramain’, The Prayer Mat Sdn Bhd (TPM) menawarkan lebih 300 koleksi sejadah berkualiti bagi menyempurnakan ibadah seharian.

Menurut pengurusnya, Siti Fatimah Mohd. Nasaruddin, rata-rata pelanggan cukup teruja memiliki sejadah dari Arab Saudi ini dan jelasnya, koleksi Medina merupakan yang paling popular.

“Bagi yang pernah menunaikan umrah dan haji di Tanah Suci, mereka beritahu sejadah tersebut mengingatkan kembali kenangan mereka sewaktu beribadat di sana yang mana ia bertepatan dengan moto TPM iaitu ‘Seumpama di Haramain’,” ujarnya.

Meski baru setahun jagung memulakan operasi, TPM terus menjadi antara pengedar sejadah Madinah paling popular di Malaysia.

“Kami menyasarkan jualan lebih RM6 juta tahun ini, berbanding lebih RM4 juta tahun lalu serta mempunyai perancangan untuk membuka lima lagi butik TPM termasuk di Kuala Lumpur dan Pantai Timur.

“TPM juga sedang cuba untuk inovasi sejadah dan cuba dapatkan ‘knowledge transfer’ dengan menghantar pereka ke kilang di Arab Saudi dan belajar cara rekaan sejadah. Rekaan sejadah tidak sama seperti rekaan tudung dan tidak semua warna boleh ditampilkan pada sejadah.

“Insya-Allah selepas ini kami akan tampilkan rekaan masjid di Malaysia dalam rekaan TPM sebagai usaha memperkenalkan Malaysia ke mata dunia,” ulasnya.

TPM menawarkan lebih 350 rekaan sejadah yang dibawa terus dari Arab Saudi daripada koleksi Medina, Mecca, Aqsa, Callighraphy, Zam Zam dan Elegance yang dijual pada harga bermula RM45 hingga RM209.