TUJUH puluh enam tahun yang lalu, datuk nenek kita dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu, berhimpun di Kampung Baru Kuala Lumpur, membina kesepakatan sesama mereka. Seteru mereka ketika itu ialah Malayan Union, yang hampir-hampir berjaya menjajah negara ini buat selama-lamanya.

Untuk bertindak dengan lebih terancang, datuk nenek kita itu tubuhkan UMNO sebagai badan formal menentang Malayan Union. Pada ketika itu UMNO adalah segala-galanya bagi mereka.

Hibanya, hari ini, selepas 76 tahun kewujudannya, bila giliran kita pula berbicara mengenai UMNO, ia bukan lagi UMNO yang dulu, yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Amat jauh bezanya, terutama dari segi sifat-sifat kepimpinan dan misi perjuangannya.

Dalam menjangkau usia 76 tahun telah acap kali berlaku pertarungan dalam kalangan segelintir Melayu yang gila kuasa untuk “memiliki’ (owned) UMNO. Mereka adalah tauke-tauke politik yang bertopengkan wajah kononnya pemimpin dan pejuang bangsa. Mereka bertarung sesamanya, berebut untuk menguasai dan memiliki UMNO. Yang kalah enggan menerima kekalahan, manakala yang menang tergamak melakukan apa saja sekalipun berdosa, untuk kekal menguasai dan memiliki UMNO.

Penguasaan oleh para tauke politik ini membenamkan perjuangan saki-baki pemimpin yang berjiwa Melayu jati, yang cuba mengekalkan legasi budaya kepimpinan khalifah, di samping meneruskan perjuangan bangsa. Mereka tersepit dan sekadar mampu “bernafas dalam lumpur”.

Inilah cahaya di penghujung terowong 76 tahun kewujudan UMNO. Ia kini menjadi parti politik yang menyiksa bangsanya sendiri. Tauke-tauke politik ini membiarkan saja bangsanya kembali terpinggir dalam arena kemakmuran negara, terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, tanpa harta dan tanpa sumber ekonomi stabil dan kukuh bagi meneruskan kehidupan dalam negara yang kaya raya dengan pelbagai bentuk sumber asli anugerah Allah SWT.

Tak usahlah berbicara dosa pahala dengan mereka ini. Sumpah laknat pun tergamak mereka permainkan, apatah lagi lain-lain bentuk dosa kering.

Yang paling membimbangkan ialah jika budaya gila kuasa, rasuah dan kesepakatan tauke-tauke politik ini dengan gerakan ekonomi hitam dibiarkan berterusan, jangan terkejut jika suatu hari nanti UMNO akan jadi ibarat sebuah pertubuhan mafia.

Tauke-tauke politik Melayu ini amat taksub menguasai dan memiliki UMNO kerana ia adalah sebuah parti keramat yang mempunyai akar umbi paling kukuh dalam kalangan parti-parti politik yang ada di Semenanjung Tanah Melayu ini. Ia mempunyai cawangan di semua kampung, desa, jalan dan lorong dalam negara ini. Memiliki UMNO bermakna akan terjaminlah genggaman kuasa dalam tangan mereka. “Fixed deposit” nya ialah sekitar 25 peratus undi bangsa Melayu yang fanatik dengan parti keramat ini.

Dalam persaingan tiga penjuru yang dijangkakan akan mewarnai Plihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, mereka hanya perlu meraih undi sebanyak 10-15 peratus saja lagi untuk membentuk kerajaan yang tidak perlu stabil sampai bila-bila. Hatta, untuk kekal berkuasa mereka bina naratif perjuangan baharu dengan mempermainkan pelbagai sentimen “fear factors”. Dua fear factors paling laris ialah:

❖ Menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kambing hitam, dan

❖ Memperdagangkan agenda bumiputera.

Tak perlulah saya berbicara apakah implikasinya bila pelbagai kegilaan itu terus mencemari UMNO. Ia akan membuatkan kita semakin mual berbicara mengenainya. Eloklah dibicarakan apakah opsyen yang bangsa Melayu ada untuk mengembalikan UMNO ke landasan perjuangan asalnya, yang telah dibina oleh datuk nenek kita, 76 tahun yang lalu.

Ini opsyen kita, bangsa Melayu.

⮚ Menolak atau menjauhi UMNO kerana kecewa dengannya, bukanlah opsyen terbaik.

⮚ Memusuhi atau menentangnya juga bukan opsyen yang boleh dipertimbangkan.

⮚ Opsyen ketiga ialah bangsa Melayu di segenap lapisan, terutama generasi millenial, wajib bangkit bersatu, bantu dua tiga kerat pemimpin yang sedang “bernafas dalam lumpur”, untuk sama-sama menyelamatkan UMNO, agar ia tidak terus dikuasai dan dimiliki oleh tauke-tauke politik ini.

GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan:Pemilihan UMNO: Ke mana arah tuju UMNO sebenarnya?

Lepas itu, putihkan UMNO untuk diterajui para pemimpin bersifat mahmudah, seperti mana dijanjikan semasa Perhimpunan Renaisans & Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil pada 28 Mei 2015.

Apabila UMNO telah benar-benar putih, hebat, bermaruah dan diberkati, barulah dapat ia:

❖ menjadi induk kepada gagasan beberapa institusi politik Melayu, kembali kepada perjuangan asalnya. Rujuk saranan Tan Sri Mohd Yussof Latif, PEMENANG yang disiarkan Utusan TV pada 4 Januari 2022;

❖ mampu memperkasakan agenda bumiputera bagi memastikan kesaksamaan hak dan peluang membina kehidupan sejahtera dan makmur di tanah air sendiri;

❖ menjadi parti politik yang mampu memadam cita-cita blok kapitalis order baharu, yang memperlekehkan agenda bumiputera sebagai agenda nasional.

❖ mampu memastikan pakatan pembangkang berperanan sebagai pembangkang yang kredibel.

Marilah kita tumpukan segala kudrat dan iradat secara bersama dan bijaksana, untuk mengembalikan UMNO ke tangan bangsa Melayu.

Selamat menyambut ulang tahun penubuhan UMNO yang ke 76 pada 11 Mei 2022. Kepada para pejuang bangsaku yang gigih mempertahankan kredibiliti dan kehebatan UMNO yang sejati, doa kami sentiasa bersamamu.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram