Ng Yan Yee (kiri) memperoleh emas kedua peribadi selepas berjaya mendapat tempat pertama dalam acara tiga meter papan anjal individu wanita sementara seorang lagi atlet Malaysia, Ong Ker Ying (kiri) mendapat pingat perak. GAMBAR: Majlis Sukan Negara

SEPERTI dijangka, sukan terjun terus menjadi lubuk buat kontinjen Malaysia menuai emas dalam Sukan SEA Hanoi dengan Ng Yan Yee menjadi penyumbang emas kelima negara.

Yan Yee ‘mudah’ menewaskan pencabar lain untuk memperoleh emas dalam acara tiga meter papan anjal wanita di Pusat Akuatik My Dinh, sebentar tadi.

Kejayaan itu juga merupakan emas kedua peribadi buat atlet berusia 29 tahun itu selepas memperoleh emas bersama Ong Ker Ying menerusi acara tiga meter papan anjal seirama wanita, semalam.

Dalam aksi hari ini, penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu memperoleh 270.60 mata daripada lima terjunan, unggul mengatasi pencabar-pencabar lain.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan koleksi emas ketujuh Yan Yee sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA.

Yan Yee pertama kali menyertai temasya itu pada Sukan SEA Vientiane, Laos pada tahun 2009.

Baca artikel berkaitan: Terjun terus sumbang emas, kali ini Ng Yan Yee-Ong Ker Ying

Berita gembira turut dicetuskan Ker Ying yang berjaya memperoleh pingat perak mengatasi atlet Singapura, Fong Kay Yian bagi pingat gangsa.

Ker Ying memperoleh 242.40 mata manakala Kay Yian sebanyak 230.15 mata.

Sukan terjun setakat ini telah berjaya menyapu lima daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan kilauan emas pertama negara dalam acara 1 meter papan anjal wanita semalam diikuti gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei bagi acara tiga meter papan anjal lelaki.

Tze Liang terus cemerlang dengan menyumbang emas ketiga negara bagi acara 1 meter papan anjal lelaki, sebelum Yan Yee-Ker Ying memperoleh emas seterusnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram