Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangkakan kes COVID-19 akan mencatatkan peningkatan selepas sambutan Aidilfitri. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENINGKATAN kes jangkitan COVID-19 selepas minggu pertama bulan Syawal sudah dijangkakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Khairy memaklumkan, orang ramai perlu membiasakan diri dengan gelombang ‘pasang surut’ melibatkan jangkitan COVID-19.

“Seperti yang diramalkan, terdapat sedikit peningkatan dalam kes COVID-19 selepas minggu pertama Syawal.

“Kita perlu membiasakan diri dengan gelombang yang akan ‘pasang dan surut’.

“Selagi tahap keterukan masih rendah, kita boleh meneruskan peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam ciapan tersebut, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menjangkakan kes positif COVID-19 selepas sambutan Aidilfitri meningkat tetapi kebanyakannya merupakan kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan.

Baca artikel berkaitan: Kes kategori 1, 2 dijangka meningkat selepas Aidilfitri

Menurut Dr. Noor Hisham, KKM telah memerhatikan trend kes COVID-19 untuk tempoh dua bulan lalu mendapati 99.5 peratus merupakan kategori 1 dan 2 malah kemasukan kes positif ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan bantuan alat pernafasan semakin berkurangan dengan kes kematian juga menurun.

Dr. Noor Hisham berkata, lebihan kematian pada 2020 dan enam bulan pertama 2021 adalah rendah dibandingkan sebelum pandmeik dan mendapati lonjakan lebihan kematian pada Julai serta Ogos tahun lalu.

Kes COVID-19 menurun ke tiga angka iaitu sebanyak 922 jangkitan pada 4 Mei lalu yang juga 3 Syawal.

Kali terakhir negara mencatatkan kes pada tiga angka adalah pada 29 Mac 2021 iaitu sebanyak 941 kes.

Bagaimanapun, selepas seminggu Aidilfitri, kes harian kembali melepasi 2,000 kes iaitu sebanyak 2,153 kes kelmarin dan 2,246 kes setakat semalam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram