HELENA Petrona Blavatsky atau lebih dikenali sebagai Madame Blavatsky lahir dalam keluarga bangsawan pada tahun 1831 di Dnepropetrovsk (kini dikenali sebagai Dnipro di Ukraine).

Sewaktu kecil, Blavatsky selalu berperangai pelik dan dikatakan sering dirasuk makhluk halus. Dia juga sering dilihat bercakap seorang diri dan kerap berjalan dalam tidur.

Blavatsky juga sering diserang sawan. Ada yang mengaitkannya sebagai salah satu simptom biasa bagi mereka yang mempunyai kelebihan berkomunikasi dengan makhluk halus.

Ketika berusia 18 tahun, Blavatsky dijodohkan dengan seorang lelaki tua. Tetapi, perkahwinan itu tidak kekal lama kerana minat Blavatsky yang gemar mengembara ke seluruh dunia.

Helena Blavatsky

Blavatsky menghabiskan usianya lebih 60 tahun mengembara untuk mengkaji budaya dan spiritual pelbagai bangsa. Dia pernah singgah di Kanada, Mexico, Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Jepun, Egypt, Tibet, India.

Di lokasi yang disinggahi, Blavatsky bukan sekadar mengembara tetapi turut menuntut ilmu dan berguru kepada bomoh-bomoh untuk mendalami ilmu mistik dan ilmu theosophy (ilmu kebatinan).

Sepanjang siri penjelajahannya, Blavatsky banyak berhenti di sarkas-sarkas dan bekerja sambilan sebagai tukang tilik. Di sarkas ini jugalah dia turut menjadi pembantu kepada para ahli nujum.

Melalui pengembaraannya itu, Blavatsky mula mencetuskan kejutan kepada dunia Barat dengan ramalan-ramalannya. Pengetahuan dan kajiannya dalam dunia mistikal timur mula tersebar di Barat. Antaranya berkaitan soal karma, kelahiran semula dan kuasa dalaman minda.

Teori ‘kelahiran semula’ amat asing di Barat ketika itu, dan ia memberi peluang kepada Blavatsky untuk tampil dengan teori sebegitu. Teknik meditasi untuk menenangkan fikiran yang diceduk dari Timur mula menjadi alternatif di Barat setelah dibawa Blavatsky melalui medium penulisannya.

Pengaruh Blavatsky makin menular di Barat. Pada tahun 1875, wanita ini mewujudkan Gerakan Theosophy (Theosophy Movement) hasil penyelidikan spiritual dan deria mistikalnya.

Dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1877 berjudul Isis Unveiled, Blavatsky menggegarkan penduduk Victoria dengan teori ‘Ancient Wisdom’ yang menghubungkan warisan lampau yang tidak tercapai dek akal.

Blavastsky mendakwa kota Atlantis yang hilang adalah peradaban dari Timur. Buku hasil karyanya ini habis dijual sebaik dipasarkan. Menurut Blavatsky, hanya orang tertentu sahaja yang dapat mendalami ilmu mistik begini.

Blavatsky turut mendakwa ahli falsafah Plato adalah antara ‘manusia pilihan’ yang diberi pengetahuan mengetahui rahsia kewujudan Kota Atlantis. Hasil dakwaannya itu, Atlantis mula menjadi sebutan masyarakat zaman Victoria sehingga ramai penulis buku dan pemikir seperti Ignatius Donnelly mula merungkai satu demi satu persoalan mengenai ‘Ancient Wisdom’ ini.

Pada tahun 1888, Blavatsky menggegarkan lagi dunia dengan karya seterusnya The Secret Doctrine. Kali ini, Blavatsky menerangkan tentang hubungan dunia sains dan fungsinya dalam warisan sejarah kuno.

Selain itu, Blavatsky juga menyatakan rabung di tengah Lautan Atlantik bersambungan di bawah benua Afrika dengan rabung yang berada di Lautan Hindi. Dakwaannya itu dibuktikan benar oleh saintis kerana rabung-rabung ini ialah sempadan plat tektonik.

Ada antara pemimpin dunia yang mengagumi teori-teori yang dibawa Blavatsky. Antaranya, Adolf Hitler yang amat mengagumi The Secret Doctrin sehingga terpengaruh dengan teori bangsa Aryan yang dibawa oleh Blavatsky.

Selain itu, Blavatsky turut meramal kejadian kehancuran alam. Blavatsky mencatatkan: “Kehancuran dunia terjadi di Atlantis kira-kira 11 ribu tahun yang lalu – selain Atlantis, seluruh England dan sebahagian barat daya akan tenggelam ke lautan, tetapi apabila Wilayah Azores tenggelam, Kepulauan Poseidonis pula akan terapung dari dasar lautan…”

Walaupun ketika itu telah ramai ahli nujum di seluruh dunia membuat ramalan-ramalan tentang tibanya hari kiamat, namun ramalan Blavatsky tetap mendapat perhatian masyarakat dunia khususnya masyarakat Victoria.

Ini ditambah dengan pendedahan kajian iklim dan kaji cuaca sehingga ada ahli sains yang mengakui ramalan Blavatsky kerana dunia mula diancam pemanasan global yang mengakibatkan pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Walaupun ramai yang mempersoalkan kesahihan timbulnya tanah atau benua baru yang dikatakan Kepulauan Poseidonis oleh Blavatsky, tetapi masih ramai juga yang percaya dan masih terus mengkaji kebenaran dakwaan wanita ini kerana dikatakan kelebihannya yang mampu berkomunikasi dengan ‘kuasa dunia luar’.

Blavatsky meninggal dunia pada 8 Mac 1891. Walaupun sudah tiada, hasil karya, tulisan, pandangan serta ramalan-ramalan Blavatsky masih diperkatakan sehingga sekararang. Ada yang menggelarnya sebagai wanita psikik, wanita sihir, malah sesetengah masyarakat yang hidup semasa era Blavatsky menganggapnya sebagai ‘utusan Tuhan’.

Benarkah segala dakwaan-dakwaan wanita ini menerusi karya mistiknya dan kajian melalui teori theosophy? Atau adakah wanita ini mempelajari ilmu ghaib dan dipengaruhi ‘makhluk’ lain? Tiada siapa yang tahu.

Dalam Islam, mempercayai ramalan adalah berdosa. Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad” – (Riwayat Ahmad).

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/