Bukan mudah mahu menghidupkan sesuatu yang diluar kebiasaan masyarakat, apatah lagi jika ianya berkait dengan agama dan cara hidup. Sesuatu yang berbeza kerap kali dijadikan isu perdebatan sehingga terluncur kata-kata yang tidak sepatutnya di ruang komen media sosial.

Menurut penulis, Mirza Hanin, ada kalanya tanggapan masyarakat terhadap wanita yang mengenakan purdah cukup mengecewakan dan berbaur toksik. Ulasnya ramai yang menyatakan purdah hanyalah sunnah dan tidak wajib, jadi tidak perlu menyusahkan diri dengan pakaian sebegitu.

Jelasnya, selagi niqabis tidak melanggar syariat, maka sokonglah mereka. Malah pemakaian niqab adalah bertujuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, bukan untuk meraih populariti.

Ikuti perkongsiannya.

“[[ Tentang Hal Yang Tidak Terluah ]]

Semalam, saya ternampak satu video niqabis yang menjawab kata-kata netizen “budak-budak purdah sekarang dah lain macam dekat tiktok.” Kemudian, saya buka ruangan komen dan saya tengok seseorang komen ‘saya tengok tiktok awak tak ada yang pelik pun. Semua ok’

Maha Suci Allah.

Niqabis tu post video di tiktok sebab dia niaga niqab. Video-videonya Alhamdulillah menutup aurat. Bahkan ada juga sesetengah video itu ditutupnya dengan emoji di bahagian mata.

Kemudian, saya terbaca lagi komen-komen berbaur negatif wa toxic yang Masya-Allah.

Antaranya :

– Islam tu mudah. Tak payah nak susahkan diri dengan pakaian sebegini.

– Niqab tu sunah je. Bukannya wajib. Bukak je lah. Ni kan Malaysia.

– Alahh bodohnya! Dekat negara Arab tu orang perempuan pakai macam ni sebab nak elak dari habuk dan pasir.

– Biasanya yang tutup gini ni, tak cantik pun. Kalau cantik, mereka buka.

– Budak-budak kalau tengok orang pakai macam ni, dorang jadi takut.

Ya Allah sedihnya saya baca walaupun orang cakap dekat dia (niqabis tu, bukan dekat saya).

Saya cuma nak cakap :

1. Hidup seseorang adalah pilihan seseorang. Mereka berhak untuk menjalani hidup dengan buat perkara sunah. Memang tak berdosa kalau tak buat. Tapi kalau buat, dapat pahala. Dan yang berdosa tu kalian sebab larang orang hidupkan sunnah bahkan herdik orang memakai pakaian sunnah.

2. Sebagai seorang muslimah yang juga berniqab, ianya sedikit pun tidak menyusahkan kami. Bahkan memudahkan. Mudah bersiap, tak perlu fikir nak make up, tak perlu risau kalau tudung kotor waktu makan sebab niqab boleh cover. Bahkan sesikit demi sedikit berasa malu nak buat dosa. Sungguh, kami tak rasa susah pun untuk berniqab ni. Jangan risau!

3. Niqab bukan sebab negara. Kalau duduk Malaysia pun pakai niqab, kalau duduk Arab pun kami pakai. Ianya pakaian sunnah. Bukan sebab habuk, debu semata-mata.

4. Kami pakai bukan sebab kami buruk. Kami pakai juga bukan sebab kami cantik. Kami pakai kerana Allah. Kami pakai nak hidupkan sunnah keluarga Rasulullah. Kami pakai, kami dapat pahala. Kalau pakai, awak tak berdosa. Jadi, apa yang dengki sangat?

5. Budak-budak takut tengok kami? Ibubapalah yang berhak memahamkan mereka. Ibabapa berhak mencorakkan anaknya. Sama ada nak agungkan pakaian seksi sana sini tak tutup aurat supaya anak tak takut. Atau memartabatkan pakaian sunnah. Ibu bapa boleh cerita buruk dan baik. Anak-anak ibarat span. Mereka serap apa sahaja ilmu baru yang mereka tahu.

Sudah-sudahlah menghina niqabis. Selagi mana niqabis yang kalian jumpa itu tidak melanggar syariat, maka sokonglah. Mereka cuma nak berniaga. Selagi mana tatacara perniagaan mereka halal, maka sokonglah.

Tak dinafikan ada niqabis yang sekadar inginkan populariti. Tapi, tak semua niqabis begitu.

Zaman sekarang zaman sukar. Wanita berniqab nak dapat kerja adalah sesuatu hal yang hampir mustahil. Jadi, dengan berniaga saja mereka boleh beroleh sumber kewangan untuk sara hidup.

Sudah-sudahlah ya.

Sudah-sudahlahhhh …

With love 💜,

Mirza Hanin 🌸”

Sumber : Mirza Hanin