Taburan hujan lebih rendah dijangka mulai 14 Mei ini susulan permulaan monsun barat daya. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEBANYAKAN tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak dengan taburan hujan lebih rendah dijangka mulai 14 Mei ini.

Keadaan itu berlaku susulan permulaan monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga pertengahan September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, monsun barat daya lazimnya membuatkan angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

Menurut beliau, ia menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh itu.

“Walau bagaimanapun, taburan hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

Baca artikel berkaitan: Aidilfitri: Cuaca diramal baik, hanya beberapa tempat hujan

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi memaklumkan, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembarakan terbuka tidak terkawal dalam tempoh monsun barat daya terutama semasa Ogos hingga Oktober.

Sehubungan itu, katanya, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram