Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu mendapatkan semula AS$2.3 bilion yang dilaburkan di syarikat pelaburan Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

Bekas setiausaha syarikat 1MDB, Goh Gaik Kim, 54, berkata, perkara itu dibincangkan semasa beliau menghadiri mesyuarat pada 11 Nov 2013.

Saksi pendakwaan ke-17 yang dirujuk dengan minit mesyuarat itu berkata, antara agenda yang dibincangkan adalah berkenaan arahan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB supaya pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC ditebus semula untuk dibawa balik ke Malaysia.

“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman telah berkata bahawa “pada masa ini tiada rancangan untuk melepaskan pegangan portfolio pelaburan. Beliau menambah dividen setengah tahun pertama kira-kira tiga peratus baru sahaja diterima.

KPMG Malaysia, firma audit 1MDB, juga telah meminta beberapa dokumen supaya dapat memastikan bahawa pelaburan Kumpulan 1MDB di dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC telah direkod pada nilai saksama,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Dalam prosiding sebelum ini, rakan kongsi urusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris berkata pihaknya tidak dapat menandatangani laporan audit penyata kewangan 1MDB bagi 2013 kerana 1MDB gagal memberi maklumat terperinci berkaitan pelaburan itu.

Baca artikel berkaitan: Pengurusan 1MDB mesyuarat di London bincang dana tambahan RM1 bilion

Terdahulu, prosiding perbicaraan pada sebelah pagi ditangguhkan ke petang kerana bekas perdana menteri itu menghadiri upacara pengebumian bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Tan Sri Ab Aziz Kassim.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed supaya Najib dikecualikan daripada hadir pada prosiding sebelah pagi.

Wan Aizuddin berkata Najib dimaklumkan Ab Aziz meninggal dunia awal pagi tadi dan oleh kerana hubungan yang rapat antara kedua-dua mereka serta tempoh perkhidmatan yang lama, bekas perdana menteri itu memohon dikecualikan hadir pada perbicaraan pagi ini untuk menghadiri upacara pengebumian.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung permohonan itu.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram