Bank Negara Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

BANK Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), hari ini membuat keputusan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. 

Kadar OPR sebelum ini tidak berubah pada paras 1.75 peratus sejak 7 Julai 2020. 

Bank pusat dalam kenyataan memaklumkan, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan kepada masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus. 

Menurut BNM, pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi. 

BNM memberitahu, perkara itu telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan ketat di China. 

“Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh khususnya di Amerika Syarikat (AS). 

“Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi. 

“Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan konflik di Ukraine, COVID-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Bank Negara Malaysia kekalkan kadar faedah 1.75%

Bagi ekonomi Malaysia pula, BNM berkata, penunjuk terkini mendapati pertumbuhan yang lebih kukuh didorong permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. 

Menurutnya, pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan lebih baik. 

BNM berkata, peralihan ke fasa endemik pada 1 April lalu juga akan memperkukuh kegiatan ekonomi sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. 

“Aktiviti dan prospek pelaburan pertumbuhan juga bertambah baik disokong realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif. 

“Walau bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung COVID-19,” jelas BNM lagi. 

Bank pusat memberitahu, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada tahun 2022. 

Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, BNM berkata, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun 2022. 

“Walau bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” katanya. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram