PERNAHKAH anda membaca tentang teori bahawa wujudnya dunia lain di dalam perut bumi, selain manusia yang menetap di permukaan bumi?

Teori aneh ini pernah dikemukaan oleh Kolonel Billie Faye Woodard, seorang bekas anggota tentera udara Amerika.

Dakwa Billie, dunia yang terletak dalam perut bumi itu dihubungkan oleh beberapa buah lohong yang dibina oleh penduduk tamadun Lumeria, sebuah tamadun yang pernah wujud ratusan ribu tahun lalu di sebuah benua di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Tamadun itu telah lenyap akibat bencana alam yang dahsyat.

Billie Faye mendakwa wujudnya dunia lain dalam perut bumi

Menurut Billie, masyarakat Lemuria telah membina tamadun baru di dalam perut bumi. Mereka membina lohong-lohong rahsia ke kutub utara dan Gunung Shasta di California, Amerika Syarikat, untuk membolehkan mereka keluar menggunakan objek tidak dikenali (UFO) dan membawa masuk penduduk bumi ke dalam dunia mereka.

Billie juga mendakwa, dia telah beberapa kali masuk ke dalam dunia di perut bumi itu. Kali pertama sewaktu dia berusia 12 tahun ketika sedang bermain di sebuah ladang jagung berhampiran rumah bapa angkatnya di Texas.

Sewaktu melintasi ladang itu, Billie didatangi oleh sebuah UFO lalu dibawa terbang merentasi Amerika dan Kanada hingga ke kutub utara. Makhluk yang ‘menculiknya’ itu dakwa Billie, mempunyai tubuh dua kali ganda daripada manusia biasa.

Sampai di kutub utara, Billie melihat kawasan yang dilitupi ais tiba-tiba terbuka luas, membentuk sebuah lohong. Dari dalam perut bumi, terpancar cahaya yang terang-benderang menuju ke langit. UFO yang dinaikinya itu terbang memasuki lohong tersebut.

Kata Billie, cahaya terang itu datangnya daripada ‘matahari’ yang terdapat di dalam perut bumi. Ia menerangi kota-kota besar dan indah, tempat Billie hidup selama enam bulan berikutnya. Di situlah dakwa Billie, dia bertemu dengan manusia-manusia yang telah lenyap secara tiba-tiba dari muka bumi ini, seperti juruterbang serta anak kapal yang ghaib semasa melintasi Segi Tiga Bermuda.

Billie mendakwa memasuki dunia lohong itu buat kali kedua semasa dia menyertai tentera udara. Ketika itu, dia dan beberapa orang pegawai tinggi tentera udara Amerika telah diarahkan menyertai satu operasi rahsia di sebuah padang pasir Nevada.

Mereka diturunkan di sebuah kawasan pergunungan, dan kemudian masuk ke dalam sebuah lif. Lif berkenaan membawa mereka memasuki sebuah terowong rahsia menuju ke perut bumi.

Dakwa Billie, di dalam perut bumi itu terdapat sebuah tamadun yang cukup hebat, mempunyai kota dan bandar yang cantik. Manusia yang tinggal di sana dua kali ganda lebih besar daripada manusia biasa.

Billie kemudian dibawa ke sebuah tempat bernama ‘Telos’, iaitu sebuah kota suci di bawah Gunung Shasta. Setelah itu barulah mereka kembali semula ke pangkalan.

Gunung Shasta di California yang banyak dikaitkan dengan kisah penghuni di dalam perut bumi.

Dalam tempoh 11 tahun selepas itu, Billie mendakwa dia telah tiga kali memasuki lohong bumi melalui terowong-terowong rahsia. Billie menggambarkan dunia di situ cantik dan tenang. Hanya terdapat sebuah benua dan sebuah lautan saja. Ibu kotanya bernama Eden, terletak di bawah bumi Arkansas.

Kata Billie lagi, penghuni di dunia itu memakan sayur-sayuran manakala haiwan-haiwan yang ada di situ amat jinak serta boleh berinteraksi dengan manusia melalui kuasa telepati. Tiada penyakit di dunia itu kerana persekitarannya amat bersih sehingga apabila manusia memasuki dunia itu, segala penyakit akan sembuh dengan hanya menyedut udaranya saja.

Di dalam biografinya berjudul World Top Secret: Our World is Hollow yang ditulis oleh Rodney M. Cluff pada Julai 2008, Billie memberitahu, dakwaannya itu bukan cerita rekaan. Tegas Billie, ia adalah suatu rahsia besar kerajaan dan tentera Amerika Syarikat. Dia sendiri telah diberi amaran keras supaya tidak mendedahkan perkara itu kepada dunia luar.

Billie juga mendakwa, kejadian sebuah lohong terbuka di kutub utara yang berlaku pada tahun 1986 turut disaksikan oleh seorang juruterbang yang bersama dengannya ketika itu. Bagaimanapun, dua buah jet pejuang Amerika telah memintas sebelum sempat mereka memasuki lohong tersebut. Mereka diberi amaran supaya berpatah balik.

Benarkah ada lohong rahsia menuju ke dunia lain di perut bumi?

Anda percaya dengan dakwaan Billie ini? Sebenarnya, ramai juga yang menyanggah cerita Billie tentang penghuni dalam perut bumi itu. Apatah lagi Billie mengatakan dia juga sebenarnya berasal dari perut bumi, dan dilahirkan bersama adik perempuan kembarnya yang bernama Zuria.

Kata Billie, ibu bapa kandunganya meninggalkannya dua beradik di sebuah taman di Texas, pada September 1951. Di situlah dia diambil oleh pasangan Red Indian, ibunya dari suku Apache, manakala bapa, Cherokee.

Billie juga mendakwa, suatu ketika dahulu dia dan adiknya mampu bertutur bahasa Lemuria. Adiknya, Zuria dikatakan telah berpindah ke dalam dunia lohong itu. Billie mendakwa telah bertemu Zuria dalam kunjungannya ke sana dahulu.

Memang ramai yang menganggap dakwaan Billie itu satu cerita karut dan tidak masuk akal. Ramai juga menuduh Billie manusia tidak waras dan terlalu tinggi khayalannya. Malah, ia juga dikaitkan dengan latar belakang Billie yang pernah mengalami penderaan seksual semasa zaman kanak-kanaknya.

Dikatakan Billie terpengaruh dengan gambaran dunia perut bumi yang diceritakan dalam pelbagai buku, antaranya oleh nelayan Norway bernama Olaf Jansen dalam Smoky God. Di dalam buku itu, Olaf mendakwa pernah belayar memasuki lohong yang terbuka di kutub utara dan memasuki dunia di dalam perut bumi.

Dikatakan Billie terpengaruh dengan buku ini.

Pada tahun 1984, Frederick Spencer Oliver telah menulis sebuah buku berjudul A Dweller on Two Planets, yang mendakwa penghuni benua Lemuria hidup di sekitar atau di dalam Gunung Shasta. Kononnya, mereka tinggal di dalam terowong bawah tanah dan sering dilihat muncul di permukaan bumi dengan memakai jubah putih.

Dakwaan ini turut disokong oleh beberapa individu seperti Guy Warren Ballard, seorang pemimpin kultus. Ia juga disokong oleh para pengikut kultus Ascended Masters, Great White Brotherhood, Bridge to Freedom, The Summit Lighthouse, The Heart Center dan banyak lagi.

Pada tahun 1940, gerakan Lemurian Fellowship telah menerbitkan buku sekuel berjudul An Earth Dweller’s Return, menyokong kewujudan tamadun Lemuria di perut bumi ini, seperti yang didakwa kemudiannya oleh Billie.

Buku An Earth Dweller’s Return yang menyokong kewujudan dunia lain di perut bumi.

Walaupun sukar dipercayai cerita Billie, namun banyak juga pihak yang menyokong teori bahawa terdapat dunia lain di perut bumi. Malah, terdapat juga cerita kononnya ramai penduduk di sekitar Gunung Shasta telah bertemu dengan penghuni perut bumi itu walaupun kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Adakah anda percaya cerita Billie? Mungkinkah UFO bukan berasal dari angkasa raya, sebaliknya dari dalam perut bumi? Benarkah manusia yang lenyap sewaktu melintasi Segi Tiga Bermuda telah disedut masuk ke dalam dunia perut bumi ini? Atau mungkinkah kisah ini sekadar satu konspirasi?

Tiada siapa tahu kebenarannya.

Mungkinkah terdapat dunia lain di dalam perut bumi?

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/