EMPAT punca utama telah dikenalpasti AirAsia yang menjadi faktor kepada isu kelewatan atau penjadualan semula penerbangan dalam musim perayaan Aidilfitri lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Ia selepas tempoh 24 jam yang diperuntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk AirAsia memberi maklum balas susulan rungutan, keluhan dan aduan yang disampaikan pengguna.

Menurut Alexander, AirAsia memaklumkan empat punca utama yang dikenalpasti menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan termasuk jumlah pesawat yang terhad.

Kata beliau, AirAsia kini beroperasi menggunakan 40 pesawat berbanding 95 sebelum COVID-19, penyusutan 57.9 peratus jumlah pesawat sedia ada.

Alexander berkata, ia disebabkan kekurangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini.

“Punca kedua pula melibatkan kekangan operasi dan kawal selia dengan sesetengah negara masih memerlukan keputusan ujian RT-PCR sebelum penerbangan sekali gus menyebabkan kelewatan.

Baca artikel berkaitan: AirAsia mohon maaf penjadualan semula penerbangan

“Peningkatan mendadak jumlah penumpang susulan musim perayaan dan pembukaan sempadan negara turut menjadi faktor kepada masalah itu.

“Selain itu, AirAsia memberitahu mengalami isu teknikal dengan tiga ke lima pesawatnya mengalami isu teknikal dalam tempoh beberapa minggu lalu.

“AirAsia menyifatkan ini sebagai ‘biasa’ dalam operasi penerbangan seluruh dunia, justeru perlukan lebih masa untuk menyemak dan menyelesaikan isu teknikal,” katanya dalam ciapan tersebut.

Punca terakhir kata Alexander pula adalah keadaan cuaca dengan operasi AirAsia terjejas di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur, Sandakan dan Kota Kinabalu disebabkan cuaca.

Mengulas lanjut, Alexander menegaskan supaya kebajikan pengguna tidak lagi terjejas menjelang beberapa cuti umum akan datang termasuk Hari Wesak dan Gawai tidak lama lagi.

“Pasca libat urus KPDNHEP-AirAsia dari sisi kepentingan pengguna, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat menzahirkan permohonan maaf kepada semua penumpang terjejas.

“KPDNHEP akan terus menjaga hak pengguna dalam isu ini manakala selebihnya membabitkan operasi akan diselia mengikut bidang kuasa MAVCOM dan Kementerian Pengangkutan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram