PEMAIN import Kedah, Ronald Ngah yang juga dikenali dengan panggilan ‘Pak Ngah’ telah menunjukkan kemampuannya sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Jordan sebelum ini dengan menjaringkan hatrik dalam perlawanan melawan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Bagaimanapun tiga gol sumbangannya itu masih belum mampu memberikan mata kemenangan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas barisan pertahanan pasukan utara itu sekali lagi bolos dalam jumlah yang besar.

Kedah kini telah bolos dengan 17 jaringan, menjadikannya sebagai pasukan yang paling tinggi bolos gol dalam Liga Super 2022 yang menimbulkan kemarahan kepada para peminatnya.

Walaupun telah mendahului dengan kelebihan dua gol tetapi PJ City mampu bangkit mengikat Kedah 3-3 hasil daripada tandukan Khyril Muhymeen Zambri yang mengecewakan bekas pasukannya.

BERITA BERKAITAN Kedah kalah lagi.., kali ini dikejutkan Melaka 2-3 di tempat sendiri

Pada aksi terbabit, KDA sepatutnya beroleh gol pertama seawal minit kelima apabila Ronald Ngah hanya perlu menewaskan Kalamullah Al Hafiz namun penyerang itu sekadar ‘sepak angin’ dan bola mudah ditangkap penjaga gol PJ City FC itu.

Bagaimanapun, Ngah menebus kehampaan pada minit ke-18 dengan memanfaatkan situasi kelam kabut di pintu gol PJ City FC apabila pantas menyambar bola yang tiba di hadapannya untuk membuka jaringan buat pelawat.

Penyerang kebangsaan, Darren Lok membawa PJ City kembali dalam perlawanan apabila penyudahnya yang menyambut percubaan M Tamil Maran yang terlebih dahulu hinggap di palang menjadikan kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-28.

Kedudukan 1-1 hanya bertahan tiga minit selepas hantaran Syafiq Ahmad bermula daripada sepakan percuma disudahkan Ngah sekali gus memberi kelegaan kepada KDA yang kembali memimpin perlawanan.

Bersambung babak kedua, gerakan deras Ngah gagal dikekang pertahanan PJ City FC dan ibarat Ronaldo Nazario, dia sempat menggelecek Kalamullah sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-64.

Enggan berputus asa, PJ City FC merapatkan jurang menerusi tandukan Mahali Jasuli pada minit ke-76 sebelum Khyril melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-83.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC menewaskan Penang FC 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol KL dihasilkan menerusi J Parthiban pada minit ke-43 diikuti Romel Morales minit ke-55 dan Zhafri Yahya minit ke-78.

Sementara gol Penang dijaringkan Endrick Dos Santos pada minit ke-80 dan Hilal El Helwe minit ke-87. – UtusanTV