Muhammad Sanusi Md Noor./ Gambar fail FB UPDA

PAS berpegang teguh kepada keputusan pimpinan Majlis Syura berhubung keputusan untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hal itu memandangkan kedua-dua parti perikatan itu mempunyai matlamat yang sama iaitu penyatuan ummah.

Oleh sebab itu, beliau berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kerjasama politik dengan UMNO.

“PAS tidak ada masalah (bekerjasama) dengan UMNO. Jika UMNO ada masalah, mereka perlu selesaikan kerana PAS tidak ada masalah. 

“Kita masih berpegang kepada keputusan dibuat kepemimpinan dan Majlis Syura, kita konsisten dan tidak ada perubahan di mana PN kita mahu, MN pun kita mahu.

“Matlamat PN dan MN adalah penyatuan ummah, memperkukuh politik Melayu dan menyatupadukan ummah dalam keadaan umat Islam berdepan cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru. ‘Ubat’ kepada isu ini adalah memperkukuh perpaduan dan kerjasama umat Islam,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan adalah mustahil untuk UMNO meneruskan kerjasama dengan Pas sekiranya parti itu terus memperlihatkan sikap ‘talam dua muka’.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Pas tetap mahu mengajak mengukuhkan perpaduan umat Islam kerana kuasa politik Melayu perlu dominan berdasarkan komposisi kaum dan sejarah latar belakang negara.

Katanya, perkara lain yang menggangu-gugat usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu perlu diketepikan semua pihak. 

“Ketepikanlah kepentingan diri, peribadi, kelompok dan mazhab kerana kita perlu memperkukuhkan kuasa politik,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram