PENERBIT terkenal Datuk A Aida meluahkan rasa terharu dan pada masa yang sama terkejut menerusi posting yang dimuat naik di Instagramnya apabila menerima sejambak bunga serta bungkusan hadiah daripada individu yang tidak dikenali.

Menerusi video tersebut, A Aida menyatakan bahawa ia merupakan kali yang keempat dirinya menerima hadiah daripada individu misteri berkenaan.

A Aida, atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 52, turut bertanya kepada individu misteri itu mengapa hanya menghantar hadiah sahaja sedangkan boleh masuk meminang.

“Ni jodoh saya ke?

“Kenapa tak masuk meminang saja”, katanya berseloroh dalam video itu.

Tambah A Aida lagi menerusi video berdurasi 1 minit 38 saat itu, individu terbabit terlewat mengirimkan hadiah sempena hari jadinya yang disambut pada 20 April yang lalu.

“Terima kasih kepada siapa yang hantar ni, tapi dia lambat sikit.

“Hari jadi saya kan 20 April, ni dah berapa lama.

“Ingatkan dah tak ada.Rupanya ada lagi”, ujarnya.

Malah, jambangan bunga tersebut turut diselitkan kad ucapan selamat hari jadi kepada penerbit kelahiran Terengganu itu.

“Kepada Aida, saya mendoakan kebahagiaan awak setiap hari.

“Selamat ulang tahun kelahiran”, tulis peminat misteri itu.

Untuk rekod, A Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada 1994 namun bercerai pada 2003. Menerusi perkahwinan ini, mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Wan Az Aleesa,25, dan Wan Eva Natassha,20.

Kemudian, A Aida bernikah dengan pegawai polis, Sufian Sulaiman pada 2007 sebelum berpisah pada 2013. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rahul yang kini berusia 13 tahun.

Seterusnya, pada Julai 2018, A Aida berkahwin dengan pelakon Ariff Aziz tetapi mahligai yang dibina hanya bertahan selama 10 bulan sebelum sah bercerai pada 25 April 2019.