Analisis

PADA hari UMNO menyambut Ulang Tahun Ke-76 semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau telah mengadakan rundingan termasuk dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan meraih sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Dan sudah tentulah apabila Saifuddin mengimbas kembali usaha tersebut dalam program debat bersama Rafizi Ramli itu, ia mengingatkan kembali bagaimana kecohnya politik negara pada Ogos 2020 apabila tersebarnya surat yang didakwa ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri itu diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Najib menafikan mereka terlibat. Namun pada 6 Januari 2021, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung UMNO mengesahkan salinan surat itu. Dalam bahasa mudahnya ia adalah surat tulen, bukan surat rekaaan yang ditulis di atas kertas berkualiti rendah atau mainan politik yang menjijikkan.

Mungkin ketika itu pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak menerima pengesahan Annuar memandangkan Ahli Parlimen Ketereh itu dianggap berada dalam keadaan marah kerana digugurkan daripada jawatan dalam parti.  Tetapi sekarang pemimpin kanan PKR sendiri mengesahkan ada pertemuan dilakukan bagi tujuan meraih sokongan berkenaan.

Malah Saifuddin juga mengesahkan ‘’kita telah mempunyai kesemua dokumen undang-undang yang sah yang membuktikan angka sokongan. Mana mungkin kita menghantar surat ke Istana Negara dokumen undang-undang dan sebagainya, Istana bukan perbuatan dan kerja main-main kerana itu saya laksanakan tugas saya.’’

Persoalannya, adakah apa yang dikatakan oleh Saifuddin itu ada kaitan dengan apa yang disahkan oleh Annuar? Kalau betul, kasihan sungguh kepada pemimpin dan ahli UMNO kerana mereka sama sekali tidak dimaklumkan bahawa ada usaha menyokong Anwar ketika mereka bermati-matian mempertahankan ‘dasar No DAP, No Anwar’ oleh pimpinan mereka.

Tetapi apa boleh buat, tidak siapapun di dalam UMNO yang akan berani bersuara meminta siasatan terperinci dijalankan bagi mengesahkan adakah apa yang dikatakan oleh Saifuddin mempunyai kaitan dengan pendedahan Annuar? Jika kedua-duanya mempunyai kaitan ia adalah sesuatu yang malang bagi UMNO.

Ia memandangkan sebelum ini, pemimpin dan ahli UMNO begitu yakin surat kepada Agong itu adalah palsu, mereka begitu percaya bahawa tidak akan kerjasama dengan PKR, mereka menyokong sebarang tindakan kepemimpinan parti yang memutuskan menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, mereka akur apabila perhimpunan Agung UMNO memutuskan tiada lagi kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya tetapi rupa-rupanya lain pula ‘ceritanya di belakang’.

Bagaimanapun belum terlambat untuk mereka ‘menghentikan semua sandiwara politik yang memualkan itu’. Caranya mudah, mereka perlu menolak usaha untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan. Tidak salah untuk meminda Perlembagaan parti berhubung tempoh penangguhan tetapi biarlah bagi ia bagi penggal akan datang.

Pemillihan penggal ini yang berakhir tahun lalu perlu diadakan sebelum PRU-15. Melalui cara itu ia akan memberikan peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk memilih barisan kepemimpinan baharu yang sudah pasti perlu meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Presiden parti memandangkan beliau adalah calon jawatan Perdana Menteri bagi UMNO pada pilihan raya berkenaan.

Cukup-cukuplah berhujah bahawa pemilihan akan membawa perpecahan dan menjejaskan kekukuhan parti berhadapan PRU-15, kalaupun berlaku perpecahan ia pasti dapat dikawal, berbanding dengan sebarang ‘gerakan sulit’ di belakang yang sama sekali tidak diketahui oleh ahli UMNO.

Semoga ahli-ahli UMNO akar umbi akan kembali bersuara demi mengelakkan mereka terperdaya dengan sebarang ‘sandiwara politik kelas tertinggi’ oleh segelintir pemimpin-pemimpin mereka. Tolaklah pemimpin yang bijak bersandiwara ini, jika tidak mahu  pengumuman  ‘poster boy’ bagi PRU-15 hanyalah satu sandiwara.