SALURAN stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati bakal membawakan siaran langsung program istimewa Debat Perdana yang menampilkan dua figura berpengaruh dalam arena politik tanah air, Datuk Sri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 9.00 malam ini menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112.

Program debat bersejarah di antara bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga merupakan Ketua Pembangkang itu diadakan di Auditorium, Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada malam ini akan berkongsi gelanggang buat pertama kali dalam sesi debat awam untuk merungkai polemik yang melanda Sapura Energy Berhad (SEB) serta mengupas pelbagai isu panas berkaitan hala tuju negara daripada aspek ekonomi, politik dan urus tadbir.

Ketua Pegawai Eksklusif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyiarkan detik bersejarah itu.

“Kami di Awesome TV berasa teruja diberi peluang untuk menyiarkan Debat Perdana eksklusif di antara Najib Razak dan Anwar Ibrahim secara langsung di platform kami pada malam ini.

“Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu, ia merupakan sebuah penghormatan kepada kami untuk menjadi sebahagian dari peristiwa bersejarah ini serta turut sama diberi ruang untuk meraikan semangat politik negara yang dilihat lebih matang dan terbuka ini.

“Kami merasakan program debat secara terbuka yang julung kali diadakan seumpama ini mampu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan pandangan dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.

Cabaran sesi debat malam ini tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran menyelamatkan (bailout) SEB.