Datin Seri Rosmah Mansor GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor terhadap pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan diketahui pada 7 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan hari ini.

“Kita telah sampai ke penghujung kes ini dan sudah tiba masa untuk penentuannya. Saya bercadang untuk mengambil masa selama dua bulan dari tarikh hari ini untuk mengemukakan penghakiman penuh bertulis pada 7 Julai semasa menyampaikan keputusan saya.

“Saya akan sampaikan keputusan saya pada pukul 9 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya.

Rosmah, 70, dilihat di mahkamah hari ini berbaju kurung berwarna kuning, dan selendang dengan warna sepadan.

Baca artikel berkaitan: Mahkamah benar pendakwaan fail hujahan tambahan kes Rosmah

Terdahulu pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan dua kes perundangan terkini sebagai nas undang-undang, manakala peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader pula berkata, beliau baru menerimanya hari ini, dan memohon lebih masa untuk menjawabnya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan memberikan masa yang diperlukan, dan memberitahu mereka untuk menyatakan jawapan itu pada penghujahan bertulis.

“Jangan risau, saya pasti akan lihat penghujahan itu. Saya telah pun melihat hujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali, dan saya akan lihatnya sekali lagi,” katanya.

Pada 23 Feb tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram