Migran yang ditahan susulan menyeludup masuk ke dalam Malaysia menggunakan bot pancung. GAMBAR: POLIS

TINDAKAN seorang tekong menggunakan khidmat lori sewa bagi mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar selepas kenderaan itu ditahan dalam satu operasi cegah jenayah pukul 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner S. Vijaya Rao berkata, lori tersebut ditahan oleh anggota dari Balai Polis Kapar sebelum menemukan 32 PATI warga Indonesia pada bahagian belakang.

Katanya, kesemua PATI berusia 20 hingga 60 tahun itu kini ditahan.

“Terdapat 19 lelaki bersama 13 wanita di dalam lori sewa tiga tan tersebut dan hasil pemeriksaan kesemua tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rugi RM7,000 selepas rumah dipecah masuk ketika keluar bekerja

Ujarnya, lori dipandu lelaki berusia 30-an itu menggunakan kain kanvas bagi menutupi bahagian belakang.

“Kesemua migran telah memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu dengan menggunakan bot pancung.

“Kesemua telah ditahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya, pemandu warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 26A, Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Sehubungan itu, Vijaya Rao meminta saksi yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran tampil ke balai polis berhampiran.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram