amalan istighfar pembuka rezeki

Setelah yakin bahawa Allah pemberi rezeki, bertakwa dan bertawakal, untuk melengkapkannya kena beristighfar. Menurut Sahlawati Abu Bakar, Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), beristighfar adalah satu amalan yang bagus untuk memurahkan rezeki.

“Kuasa istighfar ini disebutkan di dalam surah Nuh. Surah itu menceritakan tentang dakwah Nabi Nuh yang memakan masa beratus tahun. Apabila berdakwah orang tidak terima dakwahnya. Nabi Nuh janjikan kepada kaumnya supaya beristighfar kepada Allah dan minta keampunan kerana Dia adalah Maha Pengampun.

Seperti disebutkan di dalam surah Nuh: 10 dan 11,

“Sehingga aku berkata (kepada mereka), ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantar hujan lebat mencurah kepada kamu. “Dan ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai(yang mengalir di dalamnya).”

Ada lima sumber rezeki yang Allah janjikan jika kita beristighfar. Rezeki itu pula adalah dalam bentuk diturunkan hujan yang mencurah-curah. Sebab itu di dalam solat untuk minta hujan diminta untuk perbanyakan beristighfar.

Perlunya istighfar adalah kerana kita telah melakukan banyak dosa. Salah satu yang menghalang kekayaan dan rezeki adalah kerana kita banyak dosa. Bila beristighfar maka ia akan menghilangkan dosa dan bertaubat kepada Allah, menghapuskan kesedihan, maksiat dan akhirnya akan membawa kebaikan. Beristighfar kena berterusan dan istiqamah.

Di sini saya suka bawakan satu kisah yang berlaku kepada seorang yang memang hidupnya tidaklah susah sangat tetapi ada ketikanya apabila sudah sampai hujung bulan duit yang ada di tangan hanya tinggal sedikit.

Ketika itu dia akan gandakan istighfarnya lebih daripada biasa. Tidak disangka duit yang sedikit itu mencukupi walaupun telah dibelanjakan. Allah tidak menambah dan tidak mengurangkan. Apabila ia sudah terbukti maka kita dapat rasa manisnya istighfar itu. 

Dengan istighfar juga diluaskan rezeki. Mintalah keampunan dan akan diberi harta kekayaan yang banyak. Memang sudah disebut dengan jelas, dengan istighfar, dibanyakkan harta dan kekayaan. Kena buat dan rasa sendiri betapa manisnya istighfar yang boleh memaksa rezeki di dalam bentuk kekayaan harta.

Istighfar juga mendatangkan zuriat yang ramai. Banyak harta dan anak pinak. Saya ada seorang kawan yang tidak ada anak setelah enam tahun berkahwin. Dia mengetahui tentang surah Nuh itu. Katanya, kalau betullah apa yang dikatakan bahawa dengan istighfar itu boleh mengurniakan zuriat yang banyak maka tidak salah diamalkan.

Takkanlah al-Quran memberikan sesuatu yang tidak benar. Dia pun mencuba mengamalkan istighfar itu dengan istiqamah dan berterusan penuh keyakinan setelah dua bulan dia pun mengandung. Itu rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Sebenarnya Allah itu hendak melihat usaha hamba-Nya, percaya dan penuh keyakinan sama ada bersungguh atau tidak.

Dengan amalan istighfar juga akan dikurniakan kebun tanaman. Disebutkan kebun tanaman adalah bersesuaian dengan waktu  al-Quran itu diturunkan. Iaitu semasa zaman Rasulullah sumber utamanya adalah tanaman. Kalau diikutkan bidang pertanian adalah sumbar makanan dan perniagaan hingga hari ini.

Amalan istighfar pembuka pintu rezeki dan zuriat

Dan diberikan juga sungai-sungai yang mengalir dengan banyaknya istighfar. Sungai adalah sumber air untuk kehidupan, tumbuhan, haiwan dan manusia. Orang tua-tua selalu kata kebun yang bagus apabila ada sungai mengalir di dalamnya. Sungai itu ada sumber air yang utama, menyuburkan tanah, aman, makmur dan boleh menambahkan kesenangan.

Disebutkan juga di dalam satu riwayat. Pada suatu ketika seorang lelaki datang mengadu kepada Sheikh al-Hasan al-Basri bahawa kawasan tempat tinggalnya dilanda kemarau. Sheikh al-Hasan al-Basri pun menjawab,

“Beristighfarlah kepada Allah.”

Seorang lagi mengadu ditimpa kemiskinan, seorang lagi mengadu tidak dikurniakan ramai zuriat dan seorang lagi mengadu tentang tanahnya yang tidak subur. Namun Sheikh al-Hasan Al-Basri menyuruh mereka beristighfar.

Kaitan antara surah ini dengan kisah Hasan al-Basri adalah semua masalah itu boleh diselesaikan dengan istighfar.  Dari situlah menjadi faktor bahawa istighfar itu adalah pembuka pintu rezeki. Istighfar juga adalah membuka segala simpulan dan pemecah kepada segala masalah,” terangnya. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare