Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan./ Gambar FB Shahril Hamdan

UMNO mempersoal kenyataan terbaru Ketua Penerangan Pas, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin yang menyatakan parti itu menjamin agenda penyatuan ummah akan diteruskan walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘menolak’ agenda ini.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang pertama kenyataan Khairil Nizam itu tidak benar dan kedua, ini bukan ayat serta nada pihak yang mahu melihat penyatuan.

“Bagaimana mahu menyatukan dengan parti lain kalau terang-terang memburukkan pimpinannya?

“Ketiga, ia mengajak orang UMNO dan Pas yang tertanya-tanya kenapa Muafakat Nasional (MN) menjadi dingin untuk menyalahkan Presiden UMNO, sekaligus mengalih perhatian kepada punca sebenar kerenggangan – iaitu pendirian Pas berhubung pihak ketiga dan tindakan-tindakan rentetan pendirian itu,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Shahril pada masa sama mengingatkan yang usaha penyatuan ummah ini tidak bermula hanya selepas UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya kata beliau, ia sudah pun bermula semenjak awal lagi misalnya dengan solidariti dalam isu pelarian Rohingnya sebelum PRU-14.

“Presiden UMNO meneruskan kerjasama ini dengan perbincangan lebih terperinci untuk menyatukan kedua-dua parti melalui penyatuan ummah yang melahirkan kerjasama politik melalui MN.

“Tetapi MN hanya subur sehingga tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) di mana UMNO tidak setuju untuk menyertainya tetapi Pas tanpa ‘notis’ kepada UMNO, muncul sebagai parti komponen PN,” jelasnya.

Baca: Pas tidak kisah kerjasama dengan MN, PN – Sanusi

Ibarat dalam surah terakhir, status MN akan dimuktamadkan – Mohamad Hasan

Kata Shahril, kisah ini sudah didedahkan berulang kali dan akan terus diulangi selagi UMNO dipersalahkan.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, oleh kerana insiden inilah yang menjadi titik tolak kepada kerenggangan.

“Tapi Presiden UMNO berjiwa besar. Malah beliau tetap membuka pintu rundingan dalam dalam PRN-PRN yang lepas.

“Melalui Jawatankuasa Induk MN dahulu kita telah bersetuju untuk parti masing-masing menggunakan lambang masing-masing dan jentera masing-masing akan saling membantu dalam pilihan raya,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata beliau, di PRN Melaka, permintaan mudah oleh UMNO untuk Pas menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PN pun tidak dapat dipenuhi oleh Pas.

“Isyarat jelas dari Pas: PN lebih utama.

“Di PRN Johor, Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan) telah mendedahkan bahawa Pas tidak memohon untuk bekerjasama bersama UMNO walau pun Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pas akan berbincang bersama UMNO untuk membentuk kerjasama.

“Sebaliknya, siapa lupa, apa yang dilemparkan terhadap Presiden UMNO adalah “itik patah kaki”, “ahli sihir. “UMNO pula diminta untuk direhatkan” dan juga “dihukum pengundi” oleh Presiden Pas,” katanya.

Namun Shahril berkata, setelah semua di atas dan setelah semua komen serta serangan lain yang dilemparkan, UMNO masih berjiwa besar di beberapa negeri dan masih mahukan kerjasama MN.

“Tetapi dengan setiap kenyataan seperti kenyataan semalam, dalam keadaan di mana Pas masih gemar menyalahkan dan merendahkan kami, bukankah Pas yang menjauhkan agenda penyatuan dari menjadi realiti?

“Saya minta sahabat saya Ir. Khairil untuk mengusulkan kepada pemimpin Pas agar jawatankuasa induk MN sepenuhnya bermesyuarat semula jika mereka betul-betul ingin meneruskan agenda penyatuan ummah melalui MN dan berhenti menyerang pemimpin-pemimpin UMNO di media sosial,” jelasnya.

Mengakhiri hantaran tersebut, Ketua Penerangan UMNO itu memberi peringatan tegas:

“Kami tak mencari sengketa. Tapi jika sengketa yang datang, kami akan terpanggil respons.”