Proton Saga 2022 baharu yang dilancarkan hari ini di PROTON Centre of Excellence (CoE) dekat Shah Alam./Gambar BERNAMA

PENGELUAR kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) telah memperkenalkan Proton Saga 2022, versi yang ditambah baik terbaharu bagi model klasik jenama itu hari ini.

Dikuasakan oleh enjin 1.3 liter empat silinder 16 injap DOHC VVT, Proton Saga 2022 tersedia dalam empat varian, iaitu Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT.

Model yang dikemas kini itu juga menawarkan komponen dalaman dan luaran serta kecekapan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri-ciri seperti indikator Eco Drive Assist (Bantuan Pemanduan Ekonomi) yang menunjukkan kepada pemandu tentang kecekapan pemanduan mereka.

“Selama hampir empat dekad, Proton Saga telah menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara, dan kami berbangga untuk meneruskan legasinya dan menandakan permulaan perjalanan baharu dengan Proton Saga 2022.

“Dengan lebih 1.9 juta unit terjual di lebih 28 pasaran di seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk beberapa tahun lagi,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah pada pelancaran model itu hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa di sebalik pandemik, Proton Saga 2019 mencatat jualan sebanyak 123,512 unit dalam tempoh 32 bulan, dari Ogos 2019 hingga April 2022.

Proton Saga 2022 baharu dilengkapi dengan dua beg udara SRS standard, serta Brek Anti-Kekunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan sistem Bantuan Brek (BA).

Ruang dalam Proton Saga 2022 baharu yang dilancarkan hari ini di PROTON Centre of Excellence (CoE) dekat Shah Alam./Gambar FB Proton

Kesemua varian transmisi automatik turut dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) untuk membantu mengekalkan kawalan dalam keadaan jalan yang licin, manakala ciri Bantuan Pegun Bukit (HHA) membolehkan pemandu bergerak dengan yakin tanpa bimbang mengundur ke belakang ketika berhenti di kawasan berbukit.

Terdapat juga kamera mengundur yang dipasangkan di penderia belakang dan penderia hadapan yang berfungsi untuk memudahkan pergerakan ketika meletak kereta di ruang yang sempit.

Proton Saga 2022 boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Harga tanpa insurans bermula daripada RM34,400 hingga RM44,300, sah sehingga 30 Jun 2022 dengan pengecualian cukai jualan.

Proton Saga 2022 kini boleh ditempah secara dalam talian dan juga di bilik pameran Proton yang sah.

— BERNAMA