PULAU Yap berkeluasan 102 kilometer persegi adalah sebuah negara di bawah Persekutuan Micronesia yang terletak di gugusan kepulauan di tengah-tengah Lautan Pasifik.

Lokasinya terletak di sebelah barat kepulauan Carolina dan hanya berjarak 1350 kilometer dari pulau Mindanao, Filipina. Populasi penduduk pulau ini sekitar 11 ribu orang.

Penduduk asal kepulauan ini adalah imigran dari Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. Disebabkan itu, bahasa Yapese yang digunakan masyarakat di pulau ini mempunyai pengaruh kuat Bahasa Melayu dan Guinea baru.

Kedudukan pulau Yap dalam peta.

Tahukah anda, suatu ketika dahulu penduduk di pulau Yap pernah menggunakan mata wang aneh yang diperbuat daripada batu dalam sistem perdagangan mereka.

Wang batu ini berbentuk bulat seperti donut, dengan diameter di antara satu hingga 12 kaki serta mempunyai berat sehingga mencecah lapan tan.

Disebabkan bentuknya yang besar, wang syiling yang dikenali sebagai ‘rai’ ini dibiarkan sahaja oleh pemiliknya di luar rumah mereka. Malah, ada yang sengaja membiarkan duit tersebut di dalam hutan kerana tidak mampu membawanya balik ke rumah. Mereka tidak bimbang wang itu dicuri kerana masyarakat setempat mengetahui siapa pemilik wang itu melalui rekod penggantian pemilikan.

Inilah wang batu yang pernah dijadikan mata wang oleh penduduk di pulau ini suatu ketika dahulu.
Wang batu di pulau Yap ini dikenali sebagai ‘rai’.

Tiada sesiapa mahu mencuri duit itu. Pertama, kerana ia terlalu berat dan memerlukan kekuatan tenaga beberapa orang lelaki dewasa untuk memikulnya.

Kedua, masyarakat di pulau ini amat menghormati hak orang lain. Justeru, apabila berlaku sebarang transaksi perniagaan bukan daripada pemilik sebenarnya, dengan serta-merta wang itu tidak lagi bernilai.

Apa yang istimewa ialah wang batu itu tetap bernilai walaupun ia tiada di depan mata. Sebagai contoh, rai yang tertanam di dalam tanah ataupun yang tenggelam di dasar laut masih mempunyai nilai yang sama, malah nilainya tidak berkurangan sedikit pun. Sekali pun ia tidak dapat dilihat lagi, masyarakat setempat bersetuju bahawa  rai tetap ada dan masih sah untuk sebarang transaksi sebagai mata wang asli.

Tiada sesiapa akan mencuri mata wang ini.

Mata wang rai ini digunakan dalam pelbagai transaksi sosial seperti perkahwinan, politik, sebagai tanda perikatan, penebusan tahanan perang dan juga pertukaran untuk sumber makanan. Selain itu, ia juga digunakan untuk urusan jual beli tanah, bayaran untuk persembahan tarian serta dijadikan sebagai pampasan kerugian.

Apabila berlaku sebarang transaksi, proses penggantian pemilikan akan dilakukan dalam upacara tertentu mengikut adat istiadat masyarakat setempat. Selepas itu, terpulang kepada pemilik baru sama ada hendak membawa balik, mengubah lokasi atau membiarkan sahaja wang tersebut di tempat asalnya.

Terdapat lima jenis mata wang batu yang berbeza iaitu Mmbul, Gaw, Fe’ atau Rai, Yar dan Reng. Kelima-lima nilai wang itu berbeza antara satu sama lain. Konsepnya sama seperti perbezaan di antara ringgit dan sen. Duit batu paling kecil yang ditemui di kepulauan tersebut mempunyai diameter 0.3 meter dengan berat lebih setengah tan.

Memerlukan tenaga ramai lelaki dewasa untuk mengangkat wang batu ini.

Menurut Mary B. Dickenson dari National Geographic Society, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan mata wang batu ini ialah sejenis batuan hablur seperti kuarza. Bahan-bahan itu bagaimanapun tiada di pulau Yap, sebaliknya ia diambil dari tempat lain seperti kepulauan Papua dan pulau Palau yang mempunyai jarak beratus-ratus kilometer dari pulau Yap.

Kurang jelas tentang sejarah atau kepercayaan apa yang menyebabkan masyarakat di pulau ini sangat menghargai batuan kuarza ini. Tetapi, tahap penghargaan mereka pada batu itu mungkin sama seperti masyarakat moden yang mengagungkan emas.

Disebabkan nilainya yang tinggi pada pandangan masyarakat Yap, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan nyawa semata-mata kerana wang batu ini.  

Lebih menarik, nilai wang batu ini bersifat subjektif. Ia tidak dinilai semata-mata berdasarkan ukuran, kehalusan pembuatan atau kualiti pahatannya, tetapi juga dinilai dari segi sejarah, umur batu serta tahap kepayahan untuk membawanya pulang ke pulau Yap.

Faktor ini juga termasuk pengorbanan dan jumlah nyawa yang melayang untuk mempertahankan syiling batu itu. Selain itu, ia turut dinilai melalui status sosial seseorang yang memiliki wang tersebut, contohnya wang batu di tangan pemimpin adalah lebih bernilai daripada yang dimiliki oleh rakyat jelata.

Wang batu pulau Yap.

Penggunaan mata wang rai ini dipercayai bermula sekitar 500 hingga 600 tahun dahulu. Ia diperkenalkan oleh seorang bangsawan bernama Anagumang. Kemuncak perdagangan menggunakan mata wang batu ini adalah sekitar kurun ke-17 dan kurun ke-18. Pada ketika itu, nilai rai sangat tinggi, yang mana ia hanya mampu dimiliki oleh golongan berstatus pemimpin sahaja.

Bagaimanapun, apabila teknologi peralatan besi sampai ke kepulauan itu sekitar tahun 1870-an, penghasilan rai menjadi tidak terkawal sehingga hitungan rasmi jumlah rai telah melebihi jumlah keseluruhan penduduk di pulau Yap. Disebabkan itu, kadar inflasi meningkat sehingga menyebabkan nilai rai menjadi semakin rendah.

Keadaan itu telah memaksa kerajaan tempatan menetapkan kadar nilai mata wang rai dengan lebih terperinci. Penetapan itu berlandaskan kepada pembuatannya, di mana wang batu yang baru dinilai lebih kecil kerana penghasilannya tidak melalui proses tradisional yang lebih sukar. Ekoran syarat penetapan itu, nilai mata wang rai kembali kukuh pada 1880-an, dan ia berfungsi semula sebagai imbuhan bayaran gaji kepada pekerja.

Sehinggalah pada awal abad ke-20, penggunaan rai dalam perdagangan akhirnya terhenti selepas Sepanyol dan Jerman menjajah kepulauan itu.

Kemudian, ketika empayar Jepun mengambil alih pulau Yap semasa Perang Dunia Kedua, mereka telah merampas wang batu tersebut daripada penduduk dan menggunakannya untuk pembinaan landasan kapal terbang serta kubu pertahanan.

Kini, transaksi perdagangan di pulau Yap menggunakan mata wang US Dollar. Tetapi, dalam sesetengah perkara, penggunaan rai masih diteruskan oleh masyarakat Yap, kerana hanya mereka sahaja yang tahu betapa pentingnya batu-batuan itu dalam sejarah hidup mereka.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/