RANGKAIAN lagu kanak-kanak klasik berjudul Medley Klasik Siti 2 nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat ditonton di saluran Youtube Siti Nurhaliza.

Penghasilan video muzik Medley Klasik Siti 2 itu telah mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan syarikat e-dagang, Shopee.

Kerjasama kedua-dua pihak ini telah bermula sejak 2018 apabila Siti menyertai Shopee Celebrity Squad Malaysia dan berkolaborasi menerusi konsert mininya bersama Shopee pada 2019.

Siti juga telah dilantik sebagai duta tempatan platform Shopee semasa kempen Ramadan dan Raya Bersama Shopee pada tahun ini.

Medley Klasik Siti 2 terdiri daripada rangkaian lagu Air Pasang Dalam, Lagu Tiga Kupang, Anak Odeng dan Kalau Rasa Gembira.

Lagu-lagu ini menjadi hafalan kanak-kanak generasi dahulu dan masih diperkenalkan sehingga kini.

Video muzik animasi arahan M. Husien ini menampilkan maskot Shopee, orang utan, yang bernama Sean & Sophie. Jalan ceritanya pula mengisahkan pada 2170 apabila bumi tidak lagi selamat untuk didiami.

Kisah tentang seorang pemuda yang sedang bersenam di sebuah taman rekreasi hologram berpengkalan di angkasa, secara tiba-tiba beliau termasuk ke dalam satu dimensi teleportasi masa lalu di bumi.

Di alam dimensi masa lepas ini, pemuda tersebut dapat melihat keindahan flora dan fauna dan juga suasana kampung yang wujud di masa lepas.

“Video muzik dalam bentuk animasi suka ditonton oleh kanak-kanak dan ini merupakan salah satu cara untuk saya memperkenalkan lagu kanak-kanak klasik kepada generasi kini.

“Saya menghasilkan album kanak-kanak ini sebagai khazanah muzik untuk generasi kini dan akan datang dapat menghargai karya terdahulu.

“Saya gembira kerana dapat menerbitkan album yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Lagu-lagu ini jugalah yang menjadi dendangan orang tua kita satu masa dahulu,” kata penyanyi lagu Lip Lap Raya itu.