INDIVIDU berumur 60 tahun ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama. GAMBAR: Abd Razak Aid

INDIVIDU berumur 60 tahun ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Itu merupakan antara syor terkini Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pemberian dos penggalak yang dikeluarkan hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

Selain itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk juga boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh yang sama.

Menurut beliau, perkara itu boleh dilakukan selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Khairy memberitahu, remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk pula boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos primer.

Jelasnya, ia juga selepas mengadakan perbincangan dengan pengamal perubatan berdaftar.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin COVID-19 dan diikuti dos penggalak pertama telah terbukti mendapat perlindungan optima daripada jangkitan COVID-19 yang teruk serta kematian.

“Namun, disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tertentu terutama kepada individu dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Baca artikel berkaitan: Lebih 960,000 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi Covid-19

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy turut memaklumkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid telah dimulakan sejak 15 April lalu bagi merawat pesakit COVID-19.

Beliau menjelaskan, seramai 173 pesakit yang diberikan rawatan Paxlovid telah sembuh sepenuhnya sehingga 9 Mei lalu dan tiada sebarang kesan sampingan yang dilaporkan.

Khairy berkata, ubat Paxlovid telah dibekalkan untuk rawatan pesakit COVID-19 di 512 pusat penilaian COVID-19 (CAC) di klinik kesihatan dan 78 hospital kerajaan.

“Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.

“Kriteria pesakit yang diberi keutamaan adalah berumur 18 tahun ke atas; jangkitan COVID-19 kategori 2 dan 3 dan tidak memerlukan terapi oksigen.

“Pada masa sama, ia juga diberikan kepada pesakit diabetes; darah tinggi; masalah buah pinggang; asma atau paru-paru kronik; jantung dan kanser,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram