Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man GAMBAR: Abd Razak Aid

CADANGAN keras Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya Pas dibubarkan disambut sinis Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bukan sahaja menegaskan ‘hasrat’ Ahmad itu tidak akan menjadi kenyataan, malah Tuan Ibrahim memulang paku buah keras dengan mengatakan UMNO yang sepatutnya dibubarkan.

Memetik laporan BH Online, Tuan Ibrahim menegaskan, dasar Islam sudah lama menjadi wadah perjuangan Pas sedangkan menurut Ahmad, UMNO membawa dasar itu susulan pindaan perlembagaan parti pada tahun 2019.

Menurut beliau, apa yang penting ketika ini adalah memperkukuh kerjasama politik antara satu sama lain.

“Jika benar ada cadangan seperti itu, eloklah UMNO dibubarkan kerana dasar Islam sudah lama menjadi dasar Pas, jika asas itu yang UMNO cadangkan tetapi ia (bubar Pas) tentunya tidak akan menjadi kenyataan.

“Kita perlu hormati hak parti politik untuk bergerak dan terlibat dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya, hari ini.

Semalam, Ahmad dilaporkan mencadangkan supaya Pas dibubarkan kerana UMNO turut membawa wadah perjuangan Islam.

Baca artikel berkaitan: Pas tidak kisah kerjasama dengan MN, PN – Sanusi

Ahmad berkata, UMNO sudah menjadi parti politik yang turut membawa wadah itu dan sudah meminda perlembagaan parti pada tahun 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendukung cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama berbanding hanya mendukung perjuangan kebangsaan Melayu.

“Fasal 3.1 (Perlembagaan UMNO), sebelum ini (diletakkan dalam) Fasal 3.3, tapi sekarang sudah dinaikkan ke Fasal 3.1, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan. Baru-baru ini mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan UMNO,” katanya.

Pada program Wacana Aspirasi UMNO (WAU) – ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ yang disiarkan menerusi Facebook Live UMNO Online semalam, beliau berkata, dakwaan oleh bekas pemimpin utama PAS dulu bahawa UMNO bukan parti memperjuang agenda Islam, kini sudah meleset.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram