SEPERTI pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang akan disaksikan oleh penonton lewat buah tangan terbaharu pengarah berprolifik, Syamsul Yusof.

Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara itu membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.

Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Dia kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang-calang.

Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem yang mengisahkan seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur.

“Filam arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” kata penerbitnya, Shahruddin Dali.

Mat Kilau dibikin dalam suasana tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.

Tontonlah filem aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanah air tercinta.

Poster rasmi filem Mat Kilau telah mula dipamerkan bermula hari ini di media sosial.

Manakala trailer rasmi akan dipertontonkan 16 Jun depan untuk khalayak. Filem hebat ini akan menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun depan.