gambaran kiamat dalam al-Quran

Proses kiamat itu memang teratur, Allah ulang-ulang cerita hari kiamat dalam al-Quran untuk memberikan gambaran bahawa ia suatu perkara benar.

Sayyid Qutb menggambarkan setiap ayat al-Quran yang menceritakan tentang kiamat adalah lukisan peristiwa, ia adalah satu gambaran yang lengkap dan menakjubkan dahsyatnya. Ada gambaran tentang makhluk, ada tentang manusia dan peristiwa yang bakal berlaku itu cukup lengkap serta jelas.

Daripada gambaran peristiwa kiamat yang disebut itu, dapat disimpulkan bahawa ketika itu kalau hendak beribadat dan bertaubat sudah tidak ada masa lagi kerana keadaan kiamat cukup membuatkan manusia lupa segala-galanya. Seperti firman Allah dalam surah Abasa; 34-37,

Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan, ibunya serta bapanya. Dan, isterinya serta anak-anaknya; kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”

Begitu juga dalam surah Yasin: 49, menceritakan betapa sibuknya manusia ketika berlakunya kiamat. Firman Allah,

Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang(dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar(merundingkan urusan dunia masing-masing).”

Ketika itu hendak bercakap dan memberi nasihat pun tidak punya masa lagi, semua manusia sibuk dengan hal-hal masing-masing. Mereka dalam keadaan lupa walaupun kepada anak yang dikandung dan bayi yang sedang menyusu. Begitulah digambarkan betapa kalutnya hari kiamat hingga semua orang lupa dan seperti orang mabuk.

Firman Allah dalam surah al-Haj;1-2,

Wahai umat manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu menyusu akan melupakan anak yang disusukannya tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk tetapi azab Allah amatlah berat mengerikan.”

Untuk melihat kembali keadaan manusia pada hari kiamat adalah seperti kalkatu yang mengejar cahaya. Perhatikan bagaimana sifat kalkatu yang berterbangan tidak tentu arah untuk mencari cahaya, malangnya sebelum sempat mendapatkan cahaya yang diidamkan ia akan jatuh bergelimpangan. Itulah gambaran orang yang tidak beriman.

Proses menghancurkan dunia selepas tiupan kedua berlaku sangat pantas hingga manusia tidak sempat berbuat apa-apa. Itulah yang digambarkan dalam surah Yasin: 50,

Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di  luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya..”

Tiada yang selamat ketika kiamat berlaku, semunya akan hancur termasuklah bumi

Jangan kata hendak bertaubat atau beribadat kerana semuanya sudah tidak berguna lagi, malah untuk bercakap pun tidak punya masa. Apa lagi untuk kembali kepada keluarga pun tidak sempat dan dalam keadaan terpinga-pinga itulah mereka dihancurkan.

Ia dijelaskan lagi dengan sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Hari kiamat tidak akan terjadi hingga matahari terbit dari barat jika telah terbit semua manusia beriman, namun ketika itu sepertimana firman Allah, “Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya.”(Al-An’am;158).

Dan hari kiamat terjadi ketika dua orang telah membentangkan pakaiannya sehingga kedua-duanya tidak lagi melakukan jual beli dan melipatnya, dan hari kiamat terjadi ketika seseorang telah mengambil susu perahannya dan ia tidak dapat menyantapnya, dan hari kiamat terjadi ketika seseorang sedang membaiki telaganya dan ia tidak dapat meminumnya, dan hari kiamat terjadi ketika seseorang di antara kalian telah mengangkat suapannya ke mulutnya dan ia tidak dapat memakannya.”

Keadaan Orang Beriman

Apa akan terjadi kepada orang beriman ketika berlakunya kiamat? Orang yang beriman akan diasingkan dengan orang yang melakukan dosa. Seperti firman Allah dalam surah Yasin; 59,

Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari ini , hai orang-orang  yang berdosa (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).”

Ketika tengah kalut pada hari kimat dikatakan pada orang beriman, firman Allah dalam surah al-Fajr; 27-30,

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bahawa baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga Ku.”

Apabila orang yang beriman itu telah diasingkan kemudian Allah perintahkan mereka masuk ke dalam syurga. Seterusnya nasib manusia bergantung kepada amalannya semasa hidup di dunia. Hal itu disebut dengan jelas dalam firman Allah,

Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya) dan sesiapa yang berbuat kejahatan sebesar zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (al-Zalzalah:6-8).

Begitu juga ia disebut sekali lagi dalam surah al-Qariah; 6-11,

“Setelah berlaku demikian maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing) adapun orang yang berat timbangan amal baiknya. Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya. Maka tempat kembalinya ialah Haawiyah. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Haawiyah itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar.”

Kalau difikirkan tentang matahari, bulan, bumi, lautan, bintang-bintang dan langit dihancurkan pada hujung jalannya adalah hendak menyampaikan keimanan, keyakinan bahawa Allah Maha Pencipta dan Maha Hebat. Fungsinya adalah untuk membawa kita kepada menambah keimanan kepada Allah.

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare