Annuar Musa antara Menteri daripada UMNO yang hadir dalam pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya.

PEMIMPIN UMNO diminta berhati-hati semasa membuat pindaan perlembagaan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Ahad ini kerana langkah itu boleh memberi kesan negatif kepada parti selain mengundang kontroversi.

Walaupun dijangkakan tidak akan timbul masalah mendapatkan sokongan daripada perwakilan tetapi pindaan itu boleh memberi mesej salah kepada akar umbi dan masyarakat luar tentang kesungguhan kepemimpinan UMNO untuk melakukan perubahan.

Penganalisis politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Mat Yazid berkata, persoalan yang timbul ialah dari segi etika apakah pindaan ini akan memberikan imej baik kepada UMNO yang sebelum ini bermati-matian mahu membuat transformasi bagi lebih meremajakan dan mendemokratikkan parti.

“Meminda Klausa 10.16 bagi memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu pilihan raya umum dilangsungkan sudah pastilah tidak selari dengan hasrat untuk lebih meremajakan dan mendemokratikkan parti.

“Bila pemimpin sedia ada diberi ruang untuk berkuasa terlalu lama maka peluang untuk pemimpin muda naik ke atas akan lebih tertutup begitu juga dengan peluang untuk ahli biasa membuat perubahan dalam parti akan tersekat,” katanya.

UMNO, juga menurut beliau, berkemungkinan bakal berhadapan dengan persepsi negatif bahawa ia adalah usaha terakhir pihak-pihak tertentu yang takut mengalami kekalahan jika pemilihan parti diadakan dalam tempoh sebenar untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

“Semua perkara ini perlu difikirkan dengan semasak-masaknya dan dijelaskan dengan seterang-terangnya oleh para pemimpin UMNO kepada ahli dan rakyat bagi mengelakkan imej UMNO terjejas,” jelas Dr. Mohd. Noor.

Beliau turut menjangkakan pindaan itu bakal diluluskan dengan mudah berikutan para perwakilan merupakan pemimpin tertinggi bahagian mahupun sayap-sayap yang bakal mendapat manfaat langsung daripada kelulusan pindaan perlembagaan yang akan memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin sedia ada.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff, pula melihat dari sudut implikasi pindaan perlembagaan kepada UMNO jika tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Seingat saya, Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, pernah dilaporkan berkata pada 10 Ogos 2021 bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ yang hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran sahaja.

“Pasti akan ada pertanyaan apakah memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu pilihan raya umum dilangsungkan boleh dilakukan melalui inisiatif MT UMNO yang hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ sahaja.

“ROS pastilah akan terpaksa membuat pertimbangan yang adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan sama ada meminda salah satu perkara asas dalam perlembagaan boleh dilakukan tatkala MT UMNO menjadi ‘caretaker’.

“Begitu juga dengan takrif ‘selepas masa enam bulan sesuatu pilihan raya umum dilangsungkan’ yang tidak spesifik dan begitu subjektif yang boleh dipersoalkan apakah ia bertepatan dengan peruntukan lain dalam akta mahupun perlembagaan negara,” katanya.

Jika ROS meluluskan pindaan ke atas perlembagaan UMNO ini, tambah beliau, maka pastilah berduyun-duyun parti lain akan membuat pindaan sama ke atas perlembagaan parti mereka dan mahu tidak mahu ROS akan terpaksa meluluskannya juga atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Bagaimana pula jika ROS tidak meluluskan pindaan ke atas perlembagaan UMNO ini, sudah bersediakah UMNO menghadapi implikasinya, tidakkah imejnya akan tercalar dan tidakkah akan ada kemelut dalaman pula nanti dalam parti,” tanya Dr. Syed Agil.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram