BERDASARKAN sejarah dan kitab-kitab kuno, dua orang penyelidik Rusia, Nauman Volzinger dan Alexei Androsov pernah melakukan kajian saintifik mengenai peristiwa laut terbelah yang merupakan mukjizat Nabi Musa. Mereka merasakan peristiwa itu boleh dijelaskan dari sudut sains.

Dari sekian mukjizat yang Allah turunkan kepada para Rasul, peristiwa laut terbelah adalah antara mukjizat yang paling popular. Bukan saja bagi orang Islam, malah sebahagian besar masyarakat dunia percaya peristiwa yang turut dikenali sebagai The Exodus itu pernah berlaku di Laut Merah, kira-kira 3500 tahun dahulu.

Lokasi berlakunya peristiwa itu ialah di Teluk Aqaba, Nuweiba. Ia juga dikuatkan dengan penemuan arkeologi oleh Ron Wyatt pada 1988 yang menemui roda-roda kereta kuda dengan empat jeriji yang diperbuat daripada emas dan tulang-temulang manusia.

Jika melihat kepada lokasi kejadian, jarak antara Teluk Aqaba ke tanah Arab ialah kira-kira 1800 meter manakala kedalaman laut pula ialah antara 800 meter hingga 900 meter.

Lebar laluan laut terbelah dianggarkan 900 meter berdasarkan jumlah kaum Nabi Musa yang mencecah 600,000 orang dengan perjalanan selama 4 jam.

Bedasarkan fakta matematik tersebut, Nauman Volzinger dan Alexei Androsov telah mencipta satu model hidrodinamik menggunakan momentum hukum alam pada tahun 2002. Daripada kajian yang dilakukan mereka mendapati tiupan angin yang kuat boleh mengeringkan air laut dalam satu-satu masa.

Volzinger dan Androsov merumuskan, kecepatan angin 30 meter sesaat dengan bantuan karang laut atau beting pasir boleh mengeringkan air laut dan membentuk laluan.Kelajuan tersebut bersamaan dengan 108 km/j yang dikategorikan sebagai ribut sederhana, tetapi lebih kecil daripada taufan Tornado yang mempunyai kelajuan sehingga 177 km/j.

Teori yang dikemukakan oleh kedua-dua peneliti ini boleh dikatakan agak logik. Malah hasil kajian mereka turut disiarkan dalam Bulletin of the Russian Academy of Sciences pada tahun 2002.

Namun, dalam kajian itu Volzinger dan Androsov tidak menyebut tentang ketinggian air laut, sedangkan di dalam Al-Quran ada dinyatakan dinding gelombang air yang terbelah itu adalah setinggi bukit – seperti yang termaktub dalam surah Asy- Syu’ara, ayat 63.

Antara teori lain yang turut dibahaskan tentang fenomena ini ialah kekuatan pukulan tongkat Nabi Musa pada laut tersebut. Seperti yang diketahui, Nabi Musa adalah seorang lelaki yang gagah dan mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Jika dihitung, tekanan yang diperlukan untuk memungkinkan perkara itu berlaku sekurang-kurangnya memerlukan pukulan sekuat 2,800,000 Newton/ m2.

Selain itu, letusan volkano juga pernah dikaitkan dengan peristiwa ini. Teori tersebut dicetuskan oleh Floyd McCoy yang menyatakan letusan volkano yang dahsyat pernah berlaku suatu masa dahulu.

Letusan tersebut telah menyebabkan berlakunya tsunami yang besar sehingga membentuk laluan di dasar laut. Walaupun letusan tersebut berlaku sekitar 1500 sebelum Masihi, namun teori tersebut diragui kerana tsunami hanya menyebabkan berlakunya ombak raksasa, dan agak sukar untuk membentuk laluan yang membelah laut.

Berdasarkan teori-teori yang dikemukakan, ia sebenarnya sukar diterima pakai dan banyak diragui, apatah lagi ia tidak disokong oleh bukti-bukti empirikal.

Sekiranya berlaku kejadian ribut, letusan volkano atau tsunami, sudah pasti ia melibatkan kemusnahan yang besar. Tetapi teori itu tidak menyatakan tentang apa-apa kemusnahan melainkan hanya kematian Firaun dan bala tenteranya saja. Secara logik, jika berlaku bencana alam, sudah pasti Nabi Musa dan pengikutnya turut terkena tempias daripada bencana itu.

Sebenarnya, ilmu sains adalah terlalu kerdil untuk menerangkan kejadian di sebalik peristiwa mukjizat. Walaupun apa pun yang cuba dibuktikan oleh sains boleh diterima akal, tetapi belum tentu ia mampu menerangkan apa sebenarnya yang berlaku. Akal manusia adalah lebih dangkal jika hendak dibandingkan dengan kehebatan mukjizat Allah.

Sebagai seorang Islam, kita tahu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada para Rasul tidak perlu diukur dari sudut sains, sebaliknya cukup mempercayainya dengan iman yang kuat.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/