PENYAMPAI radio dan penyanyi Haiza berkongsi pengalaman mencuit hati apabila ada peminat yang datang beraya di rumahnya sehingga lewat malam.

Menurut Haiza atau Rohaizah Nordin,42, kejadian melucukan itu berlaku sewaktu awal pembabitannya dalam dunia seni.

“Ada dua orang tetamu lelaki datang beraya dari petang sampai pukul 12 tengah malam…mereka masih tak balik.

“Hendak di suruh balik, saya pula jenis yang tak sampai hati. Tapi kalau di jamu makanan dan minuman berulang kali, macam pelik pula.

“Mujurlah, sepupu ada di rumah, dia berlakon tutup tingkap dan terpaksa bagi alasan nak keluar beraya ke tempat lain walaupun waktu itu sudah larut malam.

“Alhamdulillah, idea tersebut berjaya dan tetamu tersebut akhirnya minta izin untuk pulang ke rumah,” katanya kepada URTV.

Mengakui sehingga ke hari ini, insiden tersebut pasti akan sesekali bermain di fikiran penyanyi dangdut Dag Dig Dug itu lantas membuatkan dirinya tertawa sendirian.

“Bila teringatkan kejadian itu, saya akan ketawa sebab ia agak melucukan sampai saya terpaksa bagi alasan yang tak masuk akal semata-mata nak minta peminat pulang ke rumah.

“Itu pengalaman sewaktu awal penglibatan dalam dunia seni. Iyalah, saya berasal dari Benut, Pontian.

“Siapa yang tak terujakan nak beraya di rumah artis lebih-lebih lagi di kawasan rumah saya itu,” ujarnya.