PELAWAK Indonesia iaitu Sule menafikan gosip berkaitan anaknya, Rizky Febian bertunang dengan kekasih yang berbeza agama.

Rizky yang juga merupakan penyayi lagu Ragu itu baru-baru ini memuat naik gambar bersama kekasihnya, pelakon Mahalini di Bali dan telah mengundang konstroversi dalam kalangan media Indonesia.

Sule, 46, turut menyatakan bahawa anaknya hanya sekadar menghadiri majlis yang diadakan oleh keluarga kekasihnya dan mereka belum ada apa-apa ikatan selain bercinta.

Menurutnya lagi, anak lelakinya itu memang suka untuk memberikan cincin mungkin itu hanyalah sebagai tanda percintaan mereka dan dia berharap tiada spekulasi yang timbul berkaitan perkara tersebut.

“Iky (Rizky) hanya menghadiri majlis kesyukuran keluarga Mahalini tetapi dikatakan sudah bertunang. Cerita itu hanya disensasikan media sahaja. Saya sudah banyak pengalaman begitu, jadi sudah biasa.

“Anak saya memang suka menghadiahkan cincin. Tak salah rasanya sekadar memberi hadiah.

“Mungkin itu sebagai satu cara Iky mengingatkan Mahalini bahawa mereka sedang bercinta. Tak perlu diperbesarkan hal ini,” luahnya dipetik Kapan Lagi.

Sule juga memberitahu sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan menasihat anaknya agar menjaga batas dan menerangkan cabaran yang bakal mereka hadapi apabila bercinta berbeza agama.

“Sebagai bapa saya tidak mahu dipersalahkan jika tidak memberi nasihat. Saya sudah memberitahu mereka batasan yang perlu dipatuhi.

“Saya tidak mahu hadkan kebahagiaan anak. Lihat sahaja apa yang akan berlaku nanti kerana saya yakin Tuhan telah merencanakan sebaiknya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Rizky dikatakan mula bercinta dengan Mahalini pada 7 Februari 2022 lalu.