Perseorangan ketiga negara, Leong Jun Hao gagal membenamkan pemain India, Prannoy H.S pada aksi penentuan suku akhir malam tadi./Gambar FB BAM

INDIA mengejutkan Malaysia 3-2 dalam perlawanan suku akhir untuk mara ke peringkat separuh akhir buat julung-julung kali dalam pentas Piala Thomas. 

Malaysia pula berterusan mengalami kemarau kejuaraan yang kini memasuki tiga dekad sejak kali terakhir menjuarainya pada 1992 di Kuala Lumpur.

India bagaimanapun tidak memperoleh laluan mudah apabila saingan malam ini diheret hingga aksi penentuan perseorangan ketiga.

Perseorangan utama India, Lakshya Sen berjaya memberikan tentangan sengit kepada perseorangan pertama Malaysia, Lee Zii Jia.

Mereka terikat pada mata 16-16 sebelum pemain berasal dari Alor Setar itu menamatkan set pertama dengan kelebihan dua mata, 23-21.  

Zii Jia yang merupakan pemain nombor enam dunia mengawal permainan sepenuhnya di set kedua mengatasi Lakshya yang berada pada ranking kesembilan dunia.

Aksi pertama itu berakhir dengan kemenangan buat Zii Jia, 21-9.

India kemudian menyamakan mata apabila beregu pertama mereka berjaya menewaskan pasangan Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan 21-19, 21-15

Pasukan Asia Selatan itu terus menjarakkan kedudukan apabila Srikanth Kidambi menang perseorangan kedua tetapi disamakan Malaysia menerusi pasangan Aaron Chia-Teo Ee Yi.

Ini membawa kepada aksi penentuan pada perseorangan ketiga dan ternyata pemain mereka lebih unggul.

Malah, Prannoy H.S mudah menwaskan pemain muda negara, Leong Jun Hao dengan 21-8 pada set kedua.

Baca: Piala Thomas: Malaysia diundi bertemu India di suku akhir

Keputusan: India 3 Malaysia 2

Lakshya Sen kalah kepada Lee Zii Jia 21-23, 9-21

Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mn Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-19, 21-15

Srikanth Kidambi mn Ng Tze Yong 21-11, 21-17

Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala kalah kepada Aaron Chia-Teo Ee Yi 19-21, 17-21

Prannoy H.S. mn Leong Jun Hao 21-13, 21-8