TANGKAP layar video Muah Muah Raya oleh Vida.

USAHA Datuk Seri Vida untuk mendapat publisiti membuahkan ‘hasil’ apabila usahawan tersebut semalam dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berhubung satu video muzik yang dikeluarkannya.

Menurut sumber, Vida dipanggil SKMM selepas terdapat pihak yang melaporkan mengenai video muzik Muah Muah Raya dengan dakwaan mempromosikan unsur-unsur LGBT kerana menggunakan penari ‘drag queen’ iaitu lelaki berpakaian seperti wanita.

Sebelum ini, seorang lagi usahawan komestik Datuk Aliff Syukri juga telah mencetuskan kontroversi dan dipanggil untuk siasatan oleh SKMM apabila muncul dengan muzik video raya berjudul “Kelepok Raya” yang menampilkan lelaki lembut.

Vida dalam satu hantaran di media sosial semalam berkata: “Saya tak tahulah nak cakap macam mana sebenarnya. Untuk MV lagu Muah Muah Raya itu, saya sebenarnya tak adalah promosi sangat (LGBT) selepas Datuk Aliff Syukri dipanggil SKMM sebelum ini.

BERITA BERKAITAN Selepas Aliff Syukri buat hal, Vida pula ditempelak tampilkan ‘drag queen’ dalam MV Muah Muah Raya

“Tapi, untuk pengetahuan, saya dah buat benda ini sebelum Aliff Syukri lagi tapi tetap kena panggil, maka saya kena pergilah untuk diambil keterangan berhubung lagu Muah Muah Raya.

“Saya ini pun sedang dalam keadaan tak sihat. Sakit kepala tapi saya turuti arahan SKMM itu. Saya cuma fikir, apa yang saya buat itu sebagai hiburan saja, tiada apa-apa,” katanya yang dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram, kelmarin.

Memetik laporan Harian Metro, akhbar itu tidak berjaya menghubungi Vida untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai kehadirannya di SKMM.