Kejadian melibatkan pemandu berusia 74 tahun itu berlaku di Jalan Lumut - Sitiawan kelmarin dan video berdurasi 19 saat itu tular di media sosial.


PADAH memandu van sekolah secara berbahaya kerana mahu menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing sehingga melawan arus, seorang lelaki warga emas ditahan polis semalam.


Kejadian melibatkan pemandu berusia 74 tahun itu berlaku di Jalan Lumut – Sitiawan kelmarin dan video berdurasi 19 saat itu tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengesan video dimuat naik pemilik akaun TikTok pada pukul 6 petang, semalam.


Susulan itu katanya, lelaki tersebut ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 8.20 malam, hari yang sama.

“Lelaki dan van sekolah tersebut dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut. Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 malam semasa pemandu berkenaan membawa lapan pelajar sekolah berusia 13 tahun dan 14 tahun.


“Pemandu itu mengaku mengaku van dipandunya dalam keadaan tergesa-gesa kerana mahu menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Perdana, Sitiawan,” katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Nor Omar berkata, membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.


Katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 manakala pemandu hilang kelayakan mendapat lesen memandu bagi tempoh lima tahun.


Tambah beliau, polis IPD Manjung menyeru kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.