Kumpulan Search bakal mengadakan Search Live in Concert ‘Rockin’ On Rooftop’ di Kompleks Campbell pada 11 Jun, nanti. GAMBAR: Abd Razak Aid

GITARIS band rock legenda, Search iaitu Din mendakwa mereka adalah ahli kumpulan yang asal.

Kumpulan Search yang dianggotai oleh Din, Kid, Yan, Minn serta penyanyi baru mereka, Denden bakal beraksi pada konsert Rocking on Rooftop pada 11 Jun tahun ini.

Manakala kumpulan Search yang dianggotai oleh Amy, Hillary Ang, Man Kidal dan Nasir Daud pula akan mementaskan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun ini.

GITARIS band rock legenda, Search iaitu Din (tengah) mendakwa mereka adalah ahli kumpulan yang asal GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd Taib, mereka tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan meninggalkan kumpulan itu sekaligus menguatkan lagi prinsip mereka selaku anggota asal Search.

“Kami lah Search yang ‘original’. Selama ini, kami tidak pernah keluarkan kenyataan mahu meninggalkan Search.

“Jika ada kenyataan yang menyatakan perkara itu, boleh tunjukkan bukti.

“Kami tidak gentar. Kami berani kerana benar,” katanya kepada URTV.

Kumpulan Search mengadakan sidang media Search Live in Concert ‘Rockin’ On Rooftop’ dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Grand Campbell Hotel, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Din ditemui pada sidang media konsert Search Rocking on Rooftop di Hotel Grand Campbell Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Din lagi, dia bersama ahli yang lain bersikap terbuka jika peminat memilih konsert yang menampilkan Amy.

“Saya tidak layan segala kritikan atau perbandingan di media sosial daripada peminat terhadap kami dengan kumpulan Amy.

“Kami hanya habiskan masa di studio dan teruskan perjuangan kami dan berkarya. Kami tidak tertekan.

“Peminat ada hak untuk pergi ke mana-mana konsert. Jika mereka mahu ke konsert Amy, kami okay je”, ujarnya.

Kumpulan Search mengadakan sidang media Search Live in Concert ‘Rockin’ On Rooftop’ dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Grand Campbell Hotel, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Konsert Rocking on Rooftop akan bermula pada pukul 9 malam di tingkat 4 Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Apa yang lebih menarik, konsert tersebut juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan yang akan berduet bersama Denden.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga RM88, RM198 dan RM298.

Walau bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, boleh melayari laman web www.fenomenasearch.com.