Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu mewujudkan satu ekosistem yang kondusif bagi memastikan rantaian bekalan global sentiasa tersedia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Beliau berkata, langkah itu penting dalam menangani isu jaminan kesihatan dan pemulihan pandemik.

Perdana Menteri berkata, mereka juga perlu bekerjasama dalam pembangunan vaksin melalui program penyelidikan bersama, perangkaian dan hubungan dalam bidang berkaitan vaksin.

Malah perkumpulan 10 negara anggota itu dan AS, boleh mengukuhkan kerjasama dalam pengesanan, pengawasan dan tindak balas terhadap penyakit berjangkit serta ancaman kesihatan yang muncul, katanya semasa majlis makan tengah hari  bersama pemimpin ASEAN yang dianjurkan Naib Presiden AS Kamala Harris sempena sidang kemuncak dua hari tersebut di Jabatan Negara AS di sini.

Beliau berkata, ASEAN dan AS juga perlu meningkatkan kemampanan dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan dalam pendigitalan, daya tahan ekonomi dan integrasi di rantau ini.

Baca artikel berkaitan: Ismail Sabri bertemu Presiden Amerika Syarikat di Rumah Putih

“ASEAN dan AS perlu memanfaatkan potensi pendigitalan dan revolusi perindustrian keempat,” katanya.

Mengenai kerjasama maritim, Ismail Sabri berkata, Malaysia yakin ASEAN dan AS boleh meningkatkan lagi kerjasama dalam pembinaan kapasiti, serta pertukaran dan perkongsian maklumat dan perisikan.

Inisiatif itu, katanya, boleh mencegah, memerangi atau membanteras aktiviti jenayah di laut, seperti lanun, rompakan bersenjata di laut, penyeludupan dan rampasan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram