MENYIMPAN koleksi anak-anak patung adalah perkara biasa yang kita dengar. Ramai yang menjadikannya sebagai hobi. Tetapi, sanggupkah anda menyimpan koleksi anak patung yang menakutkan?

Wanita bernama Marilyn Mansfield ini salah seorang yang mempunyai hobi aneh. Jika kebiasaannya, orang suka menyimpan anak-anak patung yang cantik dan comel, tetapi berbeza dengan wanita dari New York ini.

Marilyn mempunyai ratusan koleksi anak patung yang berwajah menakutkan, menghiasi rumahnya. Disebabkan terlalu obses dengan patung-patung hantunya itu, amat jarang dia meninggalkan rumahnya tanpa membawa salah satu daripada koleksi anak patungnya.

Terdapat pelbgai koleksi yang ada dalam simpanannya. Antara yang paling disayanginya ialah koleksi Krypt Kiddies dan Living Dead Dolls.

Bersama sebahagian anak patungnya.
Minat Marilyn lebih kepada anak patung yang menyeramkan.

Menurut Marilyn, dia mula jatuh hati dan menjadi ‘gila’ kepada anak patung seram selepas menonton filem Hollywood yang diterbitkan pada tahun 1980-an, yang menampilkan watak patung menakutkan bernama Chucky.

Sejak itu, dia telah membelanjakan ratusan ribu dolar hanya untuk membeli patung-patung seram pelbagai jenis dari seluruh dunia.

Watak Chucky ini telah menimbulkan minat Marilyn terhadap anak patung yang menyeramkan.

Disebabkan fanatik dan taksub terhadap anak patung seram ini, Marilyn turut menganggap patung-patung itu sebahagian daripada ‘anaknya’ juga. Ada kalanya dia akan menukar semua pakaian, mencuci, menidurkan dan memberi patung-patung tersebut makan. 

Marilyn juga sering membawa ‘mereka’ keluar menghirup udara segar menggunakan kereta sorong, mengunjungi zoo dan membeli pakaian.

Bermula sebagai pengumpul tegar patung-patung hantu, Marilyn kemudian menjadikan hobinya itu sebagai satu perniagaan. Dia mampu menghasilkan patung berwajah menakutkan dan menjualnya kepada pelanggan yang berminat dengan harga mencecah US$300 atau lebih.

Marilyn akan menghasilkan bayi potret dan menjadikan anak patung miliknya seakan-akan bayi hantu sebenar. Baginya, menghasilkan anak patung berwajah menakutkan adalah lebih mudah berbanding untuk membuat anak patung yang kelihatan seperti bayi sebenar.

Bermula sebagai hobi, kini ia turut menjana pendapatan buatnya.
Ketika keluar bersiar, Marilyn turut akan membawa koleksi anak patungnya.

Menurut Marilyn, pernah terjadi peristiwa ketika dia membawa patung-patungnya itu bersiar-siar di taman dan di tempat awam, ada yang cuba datang untung mengagah ‘bayinya’ itu. Walau bagaimanapun, kebanyakannya akan terkejut malah ada juga yang menjerit ketakutan apabila melihat di dalam kereta sorong bayi itu adalah patung berwajah seram.

Pelbagai reaksi yang diterima oleh Marilyn daripada hobi dan tabiatnya itu. Ada yang menganggap dia sudah gila dan tidak waras. Bagi Marilyn, dia tidak berniat untuk mencari perhatian. Sebaliknya, ini hobinya yang memberinya ketenangan, dan kemudian mampu pula dijana untuk mendapatkan pendapatan.

Malah, anak lelaki Marilyn juga mengikuti jejaknya dengan mengumpul koleksi anak patungnya sendiri. Manakala anak perempuannya pula sering membantu dalam urusan menukar pakaian dan memandikan anak-anak patung tersebut.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/