Gangguan misteri dan provokasi yang diterima tidak sekali-kali dijadikan alasan untuk mengundur diri dari industri kosmetik dan produk kecantikan. Menurut pengasas Ainaa Beauty, Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina, lima tahun mengharungi onak duri dalam memenangi kepercayaan orang ramai bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila pandemik melanda.

Namun mereka percaya, kejayaan yang dikecapi merupakan bahagian rezeki yang dikurniakan Allah untuk dikongsi bersama. Atas sebab itu, pasangan instafamous ini tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata, namun turut turun padang membantu individu yang memerlukan.

Sempena ulangtahun kelima Ainaa Beauty, jenama ini menghargai usahawan dengan pelbagai hadiah lumayan termasuk sebuah Proton C50.

Selain itu, Ainaa Beauty turut memperkenalkan wajah baharu rangkaian produknya dengan reka bentuk botol yang lebih moden, inovatif dan lebih segar.

“Ini merupakan tahun kelima Ainaa Beauty. Ini merupakan malam penghargaan buat usahawan Ainaa yang setia bersama kami. Apa yang kami capai hari ini adalah atas usaha mereka semua.

“Rezeki yang Allah berikan bukan untuk saya sahaja, saya percaya ianya untuk dikongsikan dengan mereka yang memerlukan. Bila kita memberi, Allah akan berikan berlipat kali ganda. Itulah formula terbaik untuk orang Islam dan usahawan,” ulas Hafiz sewaktu ditemui pada malam Ainaa Beauty Annual Gala Dinner di Marriot Putrajaya.

Pengasas Ainaa Beauty, Syafiqah Aina dan Hafiz Mahamad.

Belum pulih dari sakit misteri

Mengakui gangguan dan sakit misteri yang dialami masih belum sembuh sepenuhnya, namun dia dan isteri terus kuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Sebagai suami, bila Aina terkena penyakit misteri, memang saya marah dan geram. Namun ia buat kami sedar, setiap perbuatan tak perlu dibalas begitu. Namun kami terus usaha dan tunjukkan pada mereka kami boleh menjadi lebih baik.

“Walaupun belum pulih sepenuhnya tapi kami kuat. Allah ada dan kami terus berjuang. Saya bukan mencabar atau merendahkan mereka, namun saya nak tunjukkan, semuanya kuasa Allah. Buatlah macam mana pun namun saya tetap akan sebarkan kebaikan.

“Ramai usahawan yang datang hari ini, semuanya adalah orang yang memerlukan, dalam proses melalui kejayaan selepas kesukaran. Kenapa perlu kacau kami? Kami nak membantu mereka. Insya-Allah, apa pun yang mereka buat namun kami tidak akan membalas kembali dan kami akan terus usaha memburu kejayaan. Sakit itu biarlah kami yang simpan. Dalam realiti kami sangat gembira.

“Kami kena kuat untuk mengubah industri dan persepsi masyarakat terhadap pengasas kecantikan. Saya dan Aina bukan pengasas, namun kami berdua ialah abang dan kakak kepada semua usahawan Ainaa Beauty,” katanya.

Mengakui trauma akan kejadian yang menimpa, namun dia dan isteri saling mengingati antara satu sama lain.

“Sejujurnya memang kami agak trauma atas apa yang berlaku. Jika sebelum ini, andai ada yang menghantar produk makanan, kami akan ‘review’ tanpa sebarang cas untuk bantu usahawan lain. Namun kejadian yang berlaku buatkan kami berfikir dua kali.

“Dalam rumahtangga pula, setiap hari kami bahagia. Kami sweet antara satu sama lain dan ada ‘5 minute rules‘ dalam perkahwinan di mana andai berlaku apa sahaja perselisihan, sama ada saya atau Aina akan meminta maaf dan berpelukan selepas itu supaya ia tidak berpanjangan,” ulas Hafiz kepada media.

Ainaa Beauty Annual Gala Dinner meraikan kerja keras usahawannya sepanjang tahun 2021 dengan pelbagai hadiah lumayan termasuklah sebuah kereta Proton Axia, dua buat Proton X50 serta lebih 40 biji Iphone 13 Pro Max dan beberapa set perhiasan emas.

Selain daripada individu yang berjaya mencapai hasil jualan tinggi, Ainaa Beauty turut meraikan individu yang konsisten menerusi Anugerah Khas Lelaki dan Wanita Inspirasi.