Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGLIBATAN dan sumbangan belia dalam pembangunan negara sangat diperlukan kerana golongan itu merupakan tunjang keutuhan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, kata beliau, kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia.

“Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini sebagai inisiatif menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Haria Belia Negara 2022 yang disambut hari ini.

Ucapan Hari Belia Negara oleh Ismail Sabri Yaakob yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.

Dalam perutusan itu, Perdana Menteri memaklumkan sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun 2022 iaitu:

(i) Ikon Belia Karismatik
(ii) Ikon Belia Kelestarian Alam
(iii) Ikon Belia Reka Tekno
(iv) Ikon Belia Influencer (Media Sosial)
(v) Ikon Belia Sanjungan Budi
(vi) Ikon Youth-Biz
(vii) Ikon Belia OKU

“Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap Sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara,” jelas Perdana Menteri.

Sementara itu, Ismail Sabri melahirkan harapan semoga belia Keluarga Malaysia dapat menyerlah dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan generasi muda yang lebih cerah.

Baca: Kukuhkan budaya perkongsian belia-dewasa, hentikan tokenisme

Wakil belia dilantik jadi Ahli Lembaga Pengarah Felda – PM

“Marilah kita bersama-sama membentuk landskap pembangunan negara berteraskan nilai Keluarga Malaysia demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Ini Masa Kita!,” jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, sambutan Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’ mengingatkan betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Katanya, inilah masanya belia tampil melalui pelbagai peluang disediakan selari dengan konsep ‘daripada belia untuk belia’.

“Tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda.

“Penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia,” ujarnya.