Pada pandangan saya pengalaman yang dilalui bersama tiga orang teman, rasanya tak perlu dipaparkan dalam ruangan ini, tetapi memikirkan ia satu peristiwa yang menarik, mungkin patut kita kongsi bersama. Boleh dijadikan panduan andai anda melalui saat-saat cemas seperti keadaan yang kami lalui. 

Ceritanya berlaku di sebuah kampung di Negeri Sembilan, selepas berbuka puasa (puasa enam), saya pergi beraya di rumah saudara. Kira-kira jam 10.30 malam, kami didatangi seorang pemuda warga asing, ada rakannya kena pukul teruk dan berdarah. Kami terkejut. 

Pembawa berita kelihatan cemas, tak tahu apa hendak dilakukan. Dia mengharapkan kami beri idea apa yang patut dilakukan.  

Selepas bertanya sebab dan punca, katanya kami kena tanya orang yang melakukannya. Sebab dia sendiri tidak apa punca dan mengapa dia kena bantai. Sementara si mangsa ada di rumah mengerang kesakitan. 

Dalam keadaan ingin tahu, kami terus dibawa di rumah pemuda yang melakukan perbuatan tersebut. Memang kami kenal. Dipendekkan cerita kerana kami tak mahu perbalahan timbul, kami terus balik ke rumah untuk melihat mangsa. Cadang kami untuk di bawa ke klinik. Tetapi waktu ketika itu sudah jauh malam. 

Melihat keadaannya, saya rasa si mangsa perlu dibawa ke hospital. Kedua, mangsa kes kena pukul, tentu ada kaitan dengan polis. Sebab kes pukul melibatkan warga asing dan kami tak mahu kes ini berpanjangan jika dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan pihak berwajib. Jadi lebih baik bawa terus ke hospital kerajaan. Biarlah doktor yang buat keputusan selepas merawat nanti. 

Maka saya panggil ambulan untuk bawa pesakit ke Hospital Besar di Seremban. Bila ambulan sampai, maka berlaku beberapa peristiwa yang mencuit hati kami. Kerana mungkin saya tidak berpengalaman berdepan dengan keadaan seperti ini dan dalam keadaan cemas pula, maka kata-kata yang dilafazkan petugas yang datang menimbulkan rasa kurang senang di hati.

“Kenapa tu?. Hah! kena pukul?. Ini tentu kes kacau anak dara orang.’’ Kata satu suara sebaik sahaja dia turun dari ambulan.

Beberapa orang  teman yang mendengar mula panas telinga, mengapa perlu dia membuat komen sedangkan dia tak tahu dan tidak berada di tempat kejadian. Hati bertambah sakit bila perkataan yang sama diulang beberapa kali. 

Seorang teman berbisik kepada kami, “Inilah masalah orang kita, suka buat tuduhan. Asal kes Bangla kena pukul, tuduh usik anak, bini atau anak dara orang, jangan cakap sembarangan.’’       

Petugas itu tambah lagi, “Kalau tak teruk, baik bawak klinik saja. Tak banyak belanja. Kalau hantar hospital mahal, kena siapkan duit RM4K…… Ingat tu! Kena siapkan RM4K. “

“Hah tu! Dah boleh bercakap pun. Oklah tu. Elok bawak klinik je,’’ katanya lagi. 

“Encik bawalah pesakit ke hospital. Biar doktor periksa dia dulu. Kalau teruk sangat baru masuk hospital untuk rawatan lanjut. Patah ke atau apa-apa ke? Kalau tak teruk mungkin doktor boleh suruh balik cepat.’’ Demikian kata  seorang teman di tempat kejadian yang juga pedih telinga bila disuruh sediakan RM4000 untuk masuk hospital. 

Ketika pesakit diperiksa oleh penolong pegawai perubatan yang datang bersama ambulan, beliau minta pesakit diiringi bersama naik ambulan, katanya untuk memudahkan pendaftaran di hospital nanti. Beliau meminta pesakit membawa bersama pasport, permit dan tidak lupa wang tunai RM100 disediakan untuk pendaftaran. 

Sedihnya petugas ini terus mengingatkan kami supaya sediakan duit RM4000 kalau nak pesakit warga asing ini masuk hospital kerajaan.  

Kerana terasa hati, seorang teman yang ada bersama membalas kata-kata petugas tadi. “Kami minta tolong pesakit dihantar ke hospital kerajaan. Kalau hospital atau klinik swasta tentu lebih mahal lagi. Lagipun mengapa hospital kerajaan mahal sangat?’’ tanya beliau. 

Dijawab oleh petugas itu lagi. “Hah tentulah kena bayar, dia warga asing bukan orang Malaysia.  Sediakan RM4000 kalau nak masuk hospital kerajaan.”

Seorang lagi yang mendengar beritahu kami, dari pengalamannya, hospital tak minta sebanyak itu, paling tinggi RM800 sahaja dan RM100 untuk pendaftaran. 

“Encik, bawalah segera pesakit tu untuk dirawat, jangan cakap pasal duit. Biar doktor periksa dulu….’’ Kata seorang lagi teman yang ada di tempat kejadian. Beliau turut tak puas hati dengan desakan supaya sediakan duit RM4000.

Bila memikirkan masalah seperti ini, baru kami sedar mengapa orang kampung lebih suka jumpa bomoh, ustaz atau dukun daripada ke hospital. Tambahan kalau dah sakit teruk dan  perlu di bawa ke hospital dengan ambulan, mereka lebih rela mati di rumah kerana takut kena sediakan duit yang banyak untuk bayaran ambulan ke hospital. 

Belum masuk bil hospital, nak naik ambulan pun mereka takut. Bukan macam orang bandar. Panggilan ambulan datang ke rumah bukan isu besar. Atau mungkin ini melibatkan warga asing. Maka SOP ambulan agak lain pulak. Betul ke? 

Esok tengahari setelah diperiksa doktor, pesakit dijahit di kepala kerana luka yang besar, sinaran X, diberi ubat dan diberi janjitemu untuk rawatan jahit dan luka di kepala, jumlah yang dikenakan tak sampai pun RM4000. 

Bila mengingatkan peristiwa malam itu, hati kami bertambah panas kerana tak patut kami dan pesakit diingatkan tentang bayaran yang tinggi. Jika kami takut, mungkin kami tak hantar mangsa ke hospital. Mungkin kepala pesakit kami balut saja sementara menunggu klinik di buka esok pagi. Itu pun kalau pesakit masih bernyawa lagi. Manalah warga asing bekerja tanam sayur hendak cari duit sebanyak itu? Kecoh betul. Peristiwa itu benar-benar beri pengajaran buat kami. 

Sebenarnya saya pernah membuat panggilan ambulan. Kali pertama untuk membawa ayah yang sakit ke hospital. Waktu itu beliau sedang sesak nafas dan tak boleh bergerak. 

Kali kedua, ketiga dan keempat saya panggil ambulan untuk membawa jiran belakang rumah saya yang sakit dan dalam keadaan sesak nafas juga. Ambulan datang dan penolong pegawai perubatan bertanya lebih kurang dan terus bawa pesakit ke hospital. Dan saya pernah mengiringi pesakit naik ambulan ke Hospital Ampang, tak pula saya diminta sediakan bayaran untuk masuk hospital. Selain disuruh sediakan kad pengenalan serta kad penyakit si pesakit. 

Mungkin kerana pesakit warga Malaysia. Walau apa pun jangan kejutkan kami dengan jumlah bayaran yang begitu banyak, membuat kami serba salah dan takut. 

Kita lupakan sementara kes warga asing kena pukul dan sikap petugas ambulan yang mulut laser. Macam biasa kita ikuti kes minggu ini yang tak kurang peritnya untuk ditanggung seorang ibu tunggal bersama empat orang anaknya dalam keadaan dia  sudah diberhentikan kerja. Lebih terseksa, anak-anak ini tidak pernah dapat nafkah sebab bapanya lari dan hilangkan diri. 

“Duduk di KL memang mencabar kepada orang seperti saya yang lebih empat bulan diberhentikan kerja. Nasib dapat tumpang rumah emak. Tetapi makan minum kami macam mana? Emak pun ibu tunggal. Sekarang hidup emak makin terhimpit sebab terpaksa tanggung makan kami anak beranak.’’ Demikian cerita Suraya ketika kami berbual di telefon baru-baru ini. 

“Kawan nasihatkan saya supaya gunakan duit simpanan waktu bekerja dulu, sementara mencari kerja lain. Masalahnya mana saya ada simpanan? Anak empat orang, tiga daripadanya bersekolah menengah, semua sedang remaja,  nak sekolah, nak makan pakai, belanja sekolah lagi. Memang saya tak berduit, habis bulan habis gaji. Kadang kala bila sesak, mak terpaksa bantu. 

“Memang saya malu dengan emak, sudahlah saya dibesarkan, sekarang saya dan anak-anak pula  menumpang dengan emak. Tetapi inilah nasib saya, dapat suami tidak bertanggungjawab. Saya tak kisah kalau diceraikan, tetapi beri nafkah anak-anak. 

“Malangnya sebaik diceraikan, bekas suami terus hilangkan diri. Tak pernah bagi nafkah sejak lebih enam tahun lalu. Nak tanya emak dan bapa mertua, mereka telah meninggal, adik beradik ipar ada, tapi hidup mereka biasa-biasa sahaja. Mereka bukan tempat kita nak minta tolong. 

“Sebenarnya ini bukan kali pertama saya diberhentikan kerja, sudah dua kali. Sebabnya saya tak dapat ikut mereka berpindah pejabat ke tempat baru yang lebih jauh dari rumah emak saya. Jadi memikirkan tambang dan masa, maka saya terpaksa berhenti kerja. 

“Saya tak boleh harapkan emak siapkan makan minum anak-anak saya kerana faktor umur dan keadaan dirinya. Biasanya saya sediakan makan minum sebelum ke tempat kerja, tetapi kalau tempat kerja jauh tentu menyulitkan. Sebab tu saya terpaksa berhenti kerja.  Tetapi waktu itu kerja mudah dapat, tak seperti sekarang banyak syarikat tutup bisnes.           

“Selain saya anak beranak, menumpang di rumah emak, adik saya turut sama menumpang. Nasib baik dia belum berkahwin, tak ada anak. Dia juga sudah enam bulan kena buang kerja. 

“Saya sedar emak susah hati dengan keadaan hidup kami, tetapi apa boleh saya lakukan. Nak buat bisnes tak pandai dan tak ada modal. Teringin nak bawa Grab, kereta tak ada. Mak memang ada kereta tetapi keretanya tak sesuai buat Grab. Nak buat pinjaman beli kereta saya tak layak sebab terikat dengan hutang yang bekas suami buat. 

“Hidup saya kini memang terikat, mengiring kiri salah, mengiring kanan lagi parah. Hutang kiri kanan. Bukan salah siapa, salah sendiri juga konon nak tolong suami buat bisnes, akhirnya saya ditinggalkan dengan hutang. Dulu memang saya boleh bayar sikit-sikit, tetapi bila dah tak bekerja terus, macam mana nak selesaikan hutang. 

“Kadang tu bila fikir mengapalah nasib saya amat malang sakali. Sedangkan dari dulu saya berusaha berbuat baik dan mengikut perintah suami. Dulu nasihat suami, kalau nak bahagia hidup bersama mestilah ikut nasihat dan cakap suami. Hajat nak cari syurga hidup bersama suami kerana itu apa juga nasihatnya saya patut. Sebab kata suami, syurga di bawah tapak kaki suami. Saya akur dan ikut setiap perintahnya. 

“Oleh kerana itu, bila suami suruh buat pinjaman bank saya ikut. Kata suami, dia perlu bekerja mencari rezeki untuk keluarga, tetapi dia sudah berhenti kerja kerana tak sesuai dengan jiwanya. Jadi dia nak buat bisnes, bekerja sendiri.

“Tetapi bila bisnes berjalan, tak tahulah sampai mana kejayaannya, saya pula diceraikan. Tetapi semuaya terbongkar bila saya dapat tahu dia ada hubungan dengan wanita lain. Bila ditanya dia melenting, tuduh saya cemburu. Lepas tu suruh pinjam lagi, nasib bank tolak sebab tak layak. 

“Selepas bercerai, saya balik menumpang rumah emak. Alhamdulillah emak terima. Kalau tidak saya dah nekad bawa anak-anak dan kain baju, periuk belanga,  duduk depan pintu pejabat Bandaraya, sebab tak ada rumah. Nak bayar sewa tak mampu. Waktu itu saya dah nekad, apa nak jadi, jadilah. Saya dah tak malu lagi. 

“Dengan susah payah saya besarkan anak-anak empat orang ini. Saya amat bersyukur, dua orang anak saya baru-baru ini ketika sekolah mula di buka mereka dapat masuk sekolah asrama dan selang sebulan anak ketiga juga dapat sekolah berasrama. 

“Memang bagus tawaran sekolah berasrama, tetapi masalahnya terpaksa pinjam duit emak untuk urusan pendaftaan. Saya memang tak ada duit. Saya berterima kasih kepada masjid berdekatan beri bantuan untuk anak-anak saya kerana mereka memang rajin membantu masjid. 

“Saya ceritakan masalah ini bukan nak tarik simpati, tetapi pihak mahkamah syariah fikirkanlah nasib kami ibu tunggal dan anak-anak yang tak dapat nafkah. Hidup anak-anak kami menderita bukan sahaja oleh sikap bapa mereka yang melarikan diri tetapi pihak mahkamah yang kurang tegas menghukum bapa yang enggan beri nafkah.’’ Demikian cerita Suraya panjang lebar tentang masalahnya. Harapannya mungkin Baitulmal atau pusat zakat boleh membantu.