PENYANYI Caprice turut mengulas mengenai isu hangat berkaitan seorang pempengaruh (influencer) mempertahankan minat menarinya dan kaitkan dengan hukum agama.

Selepas ditegur oleh Mufti Negeri Sembilan beberapa hari yang lalu, kini Caprice pula memberi kenyataan berkaitan isu tersebut dan telah menarik perhatian netizen dengan kata-kata yang dilontarkan oleh penyanyi rap itu.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memberitahu bahawa wanita tersebut cuba mempertahankan minatnya yang sememangnya tidak bertepatan dengan agama Islam dan dia bukanlah individu pertama yang melakukan perkara sebegitu.

“Dia (Sabrina) bukan gadis pertama berhijab yang menari dan menyanyi dalam media sosial. Silapnya apabila dia cuba kaitkan isu tersebut dengan agama.

“Jangan cuba justifikasi sesuatu benda yang kita minat dalam konteks Islam apabila perkara yang kita minat itu lari daripada al-Quran dan sunnah,” ujar penyanyi lagu Lenglui itu.

Menurutnya lagi dalam kongsian di Instagramnya itu sekiranya seseorang Islam itu akan kelihatan jahil jika menilai sesuatu perilaku tanpa berpandukan kitab suci Al-Quran dan Sunnah.

“Memang tak bolehlah. Kalau nak buat kepala kita tanpa mengikut al-Quran dan sunnah, anda akan kelihatan bodoh,” jelasnya lagi.

Menjengah ke ruang komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh penyanyi berusia 34 tahun itu.

“Apabila Al-Quran berkata Haram, maka ia Haram. Pendapat awak tidak dikira.

“Bagus Cap tegas dalam hal berkaitan agama.

“Islam juga menggambungkan 2 perkara. Pertama sekali adalah maruah dan yang kedua adalah adab,” tulis netizen di ruang komen kongsian tersebut.

Temu bual berjudul Life of a hijabi K-pop dancer itu, Sabrina Azhan yang merupakan pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Hanyang, Korea, berkata hijab tidak pernah menjadi penghalang minat dalam dunia tarian.